Tubuh RCI, tarik balik daging diragui dari pasaran - CAP


PERSATUAN
Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu kartel daging seludup yang diragui status halal.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader turut mahu kerajaan menarik semula daging beku import yang diragui statusnya itu ditarik semula dari pasaran sehingga ia dapat benar-benar dipastikan halal.

"Sejak isu itu dilaporkan media, pihak berkuasa menjalankan siasatan tetapi belum menarik semula produk terbabit daripada pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Mohideen turut menggesa orang ramai supaya peka kepada isu yang didedahkan baru-baru ini.

Terdahulu, media membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal.
 
Kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula dan dijual ke pasaran tempatan.

Beberapa pemimpin politik menggesa kerajaan serius dalam menangani isu tersebut.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu kenyataan menyifatkan kegiatan itu telah merobek reputasi institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan umat Islam.

Manakala, bekas  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, jika isu kesangsian daging import halal tidak ditangani, ini boleh menimbulkan isu integriti dan kualiti label daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan RCI menurutnya perlu segera diwujudkan.

 Tarik balik daging diragui dari pasaran
Sementara itu, Mohideen turut senada dengan dua pemimpin itu. Katanya, tindakan tegas harus diambil ke atas pihak penyeludup dan kakitangan awam didapati terbabit rasuah dalam kes berkenaan.

Selain itu tambahnya, agensi kerajaan yang berkaitan juga perlu tampil memberi penjelasan berhubung isu itu.

"Pihak yang didapati melakukan jenayah berkenaan perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments