KENYATAAN dibuat Presiden Warisan Shafie Apdal bahawa pembangkang akan gagal pada pilihan raya akan datang jika diketuai kepemimpinan sama dibidas seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah.
Raymond Ahuar yang merupakan Ketua sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri itu berkata, Warisan dan Pejuang yang dipimpin bekas pengerusi bersatu, Dr Mahathir Mohamad cuba melemahkan pembangkang dan tidak mahu bersama Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai satu gabungan.
“Pembangkang yang ada hari ini yang diketuai HARAPAN merupakan barisan pembangkang yang kukuh.
“Lebih teruk, Warisan dan Pejuang tidak menyokong beberapa usaha pembangkang di Parlimen hanya kerana masalah peribadi bersama pemimpin HARAPAN,” katanya dalam satu kenyataan.
Minggu lalu, Shafie, Presiden Warisan yang gagal mempertahankan Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu berkata, pembangkang akan gagal pada pilihan raya akan datang jika masih diketuai kepemimpinan sama.
Menurutnya, perubahan perlu dilakukan secara menyeluruh .
Bagaimanapun, Raymond menyelar kenyataan itu dengan berkata bahawa rakyat sebenarnya boleh menilai sikap Warisan serta Pejuang dalam usaha mengambil semula mandat rakuat daripada Perikatan Nasional (PN).
“Saya menyarankan lebih baik Shafie fokus untuk mengambil semula kerajaan Sabah daripada PN selepas beliau ditumbangkan, bukan kerana pengkhianatan, tetapi ditolak oleh rakyat baru-baru ini.
“Saya tidak menentang keputusan Shafie untuk melebarkan sayap Warisan ke Semenanjung atas semangat demokrasi, namun agak janggal bila beliau ingin membawa semangat ‘Unity’ yang beliau mainkan di Sabah sebelum pilihan raya negeri yang lalu ke Semenanjung,” katanya.
Katanya, Shafie dilihat gagal menyampaikan mesej sebenar ‘Unity’ dan tidak diterima oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.
Raymond gesa cari titik persamaan |
“Hari ini KEADILAN menjadi parti berbilang kaum terbesar di negara dengan lebih sejuta ahli,” kata sambil menasihatkan Shafie supaya segera mencari titik persamaan untuk mengembalikan mandat rakyat yang diperolehi pada pilihan raya umum ke-14.
0 Comments