HASRAT Parti Warisan Sabah (Warisan) melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia dilihat tidak relevan buat masa ini.
Pandangan itu disuarakan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan seperti dilapor portal Sinar.
Menurut Dr Ariff, Warisan akan sukar mendapat sokongan kerana ia sebuah parti bersifat kewilayahan yang spesifik dan juga memperjuangkan isu spesifik yang melibatkan urus tadbir dalam konteks kenegerian.
“Kalau Warisan dibawa ke Semenanjung, saya fikir agak sukar untuk parti itu mengolah semula ideologi mereka kerana konteks politik di Semenanjung ini agak berbeza dengan apa yang berlaku seperti di Sabah.
“Saya berpendapat, pucuk pimpinan tertinggi Warisan perlu memikirkan semula hasrat itu kerana ia bukan satu cadangan yang mudah untuk mewujudkan sebuah parti bersifat kenegerian ke dalam konteks politik tempatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, parti pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal itu juga sukar diterima di Malaysia Barat kerana Semenanjung sudah mempunyai terlalu banyak parti politik sama ada parti yang berpaksikan Melayu Islam dan juga parti bersifat majmuk yang menerima kemasukan pelbagai kaum.
“Cadangan itu juga tidak sesuai kerana dalam konteks di Sabah sendiri kita lihat dengan jelas tahap penerimaan rakyat terhadap Warisan melalui keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
“Jadi bagi saya amat sukar bagi Warisan untuk melebarkan sayap mereka kecuali parti itu sendiri mempunyai satu modal politik yang kukuh demi meyakinkan orang ramai agar boleh mengikuti parti tersebut,” katanya menurut laporan itu.
Warisan sebelum ini dilaporkan akan melebarkan sayapnya ke Semenanjung, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, parti itu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk rakyat dari Semenanjung.
Boleh cetus pertelingkahan politik, kata Dr Ariff |
Berikutan itu, katanya, adalah lebih baik untuk Warisan mengekalkan status quo di Sabah dan cuba melakar satu prestasi yang lebih baik pada masa akan datang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
0 Comments