AMK perlu waspada agenda pihak tertentu


PEMIMPIN Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri menggesa semua pihak tidak cepat melatah menangani isu kebocoran komunikasi melibatkan Ketua AMK Akmal Nasir yang didakwa 'memperkecilkan' presiden parti Anwar Ibrahim.

Melalui satu kenyataan ditandatangai Ketua AMK daripada 13 negeri dan Wilayah Persekutuan mereka mengingatkan supaya berwaspada dengan agenda pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan penyokong parti itu.

"Kami menyeru agar semua kepimpinan dan anggota AMK Malaysia di semua peringkat supaya bertenang dan berlaku adil serta memberikan ruang sewajarnya kepada kepimpinan untuk menjernihkan keadaan.

"Kami juga menolak sebarang agenda yang cuba menangguk di air keruh untuk melaga-lagakan anggota mahupun kepimpinan.

"Serta mengecam perbuatan membocorkan perbincangan tertutup sehingga mencetuskan suasana tidak menentu dalam parti," tegas mereka.

Baru-baru ini, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru melalui satu komunikasi yang dibocorkan di media sosial didakwa mengkritik beberapa keputusan oleh Anwar.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bertanggungjawab menyebar petikan perbualan dalam kumpulan komunikasi Whatapp tersebut.

Susulan penularan operbualan itu, beberapa ahli AMK yang sebelum ini difahamkan rapat dengan kem bekas Timbalan Presiden parti itu yang berpaling tadah, Mohammed Azmin Ali membuat kenyataan mendakwa Akmal sebagai pengkhianat dan mendesak supaya Akmal dikenakan tindakan serta mengundurkan diri daripada kepimpinan KEADILAN.

AMK gesa ahli sentiasa waspada
Sementara itu, dalam kenyataannya juga menegaskan bahawa AMK yang dipimpin Akmal komited untuk menyokong kepimpinan Anwar membina Malaysia yang lebih baik.

"Tiada asas kukuh untuk mempertikaikan kesetiaan kepimpinan AMK Malaysia terhadap pucuk pimpinan parti setelah kesetiaan ini dibuktikan menerusi komitmen AMK mempertahankan prinsip dan idealisme daripada agenda pengkhianatan yang lalu.

"Kami menyeru agar seluruh anggota AMK merapatkan saf dan mengukuhkan gerak kerja agar AMK tampil menjadi sayap terkuat parti dalam menjayakan agenda reformasi," kata mereka lagi.

Post a Comment

0 Comments