Guan Eng anggap Sanusi 'pembuli besar', tiada daya kepimpinan


BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor “pembuli besar”.

Ia susulan kenyataan berseloroh Sanusi yang mahu menafikan pemberian air kepada rakyat Pulau Pinang.

Tegas Guan Eng, tiada mana-mana ahli politik di negara ini boleh menafikan hak air kepada rakyat Malaysia.
 
“Tiada pemimpin Malaysia berbuat demikian sehinggalah Sanusi mengugut untuk tidak memberi air kepada sesama rakyat Malaysia.

“Apakah tindakan Sanusi itu tidak menentang kehendak tuhan dengan campur tangan dalam apa yang ditentukan tuhan dalam hal semula jadi,” katanya dipetik laporan FMT.

Sanusi baru-baru ini dikritik warganet susulan kenyataannya, yang berseloroh mahu mengarahkan  orang kampung menyekat air dari Sungai Muda di Kedah supaya tidak mengalir ke Pulau Pinang.

“Besok kita alirkan Sungai Muda itu ke tempat lain, kalau orang kampung saya kata belat (sekat) sungai, alih sungai itu pi (ke) tempat lain, hampa (kerajaan negeri Pulau Pinang) nak sedut ayaq (air) di mana?
 
“Haa boleh pi sampai tara (setakat) itu lah kalau mahu, saya kerah orang kampung suruh boh (letak) pasir dalam guni belat sungai di Pinang Tunggal," kata Timbalan pesuruhjaya Pas Kedah itu dipetik laporan media.

Kenyataan itu susulan 'perang mulut' antara Sanusi dan Ketua Menteri Pulau Pinang,  Chow Kon Yeow mengenai caj air mentah kira-kira RM50 juta setahun yang dituntut kerajaan pimpinan Sanusi kepada Pulau Pinang.

Isu mengenai caj itu difahamkan timbul setelah sebuah agensi air Pulau Pinang mengkritik Sanusi mengenai rancangannya untuk melombong mineral bumi yang dikhuatiri akan menjejaskan bekalan air mentah yang diproses untuk kegunaan penduduk Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. 


BACA:
Warganet kurang senang dengan 'seloroh' MB Kedah

 Sementara itu, Guan Eng turut membandingkan cara pentadbiran Sanusi dengan pemimpin Pas lain termasuk bekas menteri besar Kedah, Azizan Abdul Razak yang dianggap mempunyai keupayaan memimpin.

 Sanusi dianggap tiada nilai kepimpinan


“Azizan ada segalanya (nilai kepimpinan) yang Sanusia tiada, walaupun Sanusi pernah dilantik sebagai setiausaha politik Azizan selama lima tahun ketika menjadi menteri besar.


“Apa yang penting, Azizan seorang yang berkeupayaan tetapi Sanusi tidak,” katanya sambil menegaskan bahawa Sanusi menghakis kepercayaan rakyat terhadap Pas yang mahu memaparkan diri sebagai parti yang berupaya menawarkan kepimpinan contoh.

Post a Comment

0 Comments