TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkait situasi politik semasa boleh dibaca dan difahami melangkaui apa yang berlaku di negeri itu sahaja, Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, teguran Sultan itu yang mengingatkan sikap sebahagian ahli politik rakus turut meliputi pemimpin di peringkat persekutuan.
"Saya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salah guna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.
"Saya fikir bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat persekutuan juga," katanya dalam kenyataan.
Presiden KEADILAN itu merujuk titah Sultan pada istiadat pelantikan menteri besar Perak ketiga sejak PRU ke-14 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 10 Dis lalu.
Selain menyifatkan bahawa pelantikan tiga kali Menteri Besar di negeri itu dalam penggal ini sebagai satu cerminan kepada kegagalan, Baginda turut mengingatkan bahawa sifat sebenar seseorang itu akan terserlah ketika beliau mendapat jawatan, kuasa, kekayaan dan harta.
Sementara itu, ketika mengulas lanjut titah tersebut, Anwar berkata KEADILAN berpandangan reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab diwujudkan.
Ia tegasnya perlu bagi mengelak amalan mengkhianati amanah rakyat atau mengabai kepentingan mereka.
"Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak. Anwar junjung kasih pada titah Sultan Nazrin
"Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba," katanya lagi.
0 Comments