Oleh: MUHAIMIN SULAM | Dalam Sulalatus Salatin ada diceritakan begini: "Ada pada suatu hari Sultan Muzaffar Syah dihadap orang di balairung; setelah lamalah sudah baginda dihadap orang, maka Bendahara pun hendak masuk menghadap. Setelah datang di luar pintu maka Sultan Muzaffar Syah pun berangkat masuk, sebab lama sudah baginda duduk, tiada baginda tahu akan Bendahara datang itu, maka pintu pun tertutup ditiup oleh angin.
"Pada hati Bendahara, 'Yang Dipertuan murka akan aku serta aku datang berangkat masuk dan pintu pun ditutup orang.' Maka Bendahara pun terlalu malu rasanya lalu kembali ke rumahnya makan racun, lalulah hilang. (Sulalatus Salatin 87:1996.)
Itu adalah petikan dari kitab Sulalatus Salatin yang dipercayai ditulis pada 1652. Karya Tun Seri Lanang itu merupakan bacaan wajib kami sewaktu mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah dulu.
Walaupun karya tersebut berkaitan sastera tetapi isi kandungannya adalah mengenai sejarah politik, adat istiadat dan susur galur kerajaan Melayu Melaka.
Bahkan karya itu adalah karya epistemologi sosiobudaya masyarakat Melayu bersiasah.
Adalah malang sekali jika ada seseorang yang menjadi pemimpin Melayu tetapi tidak membaca karya agung bangsa sendiri. Lebih-lebih lagi jika pemimpin itu mendakwa mereka adalah pemimpin Melayu Islam.
Ini kerana ramai pemimpin yang ghairah mempamerkan diri masing-masing sebagai pemimpin bangsanya tetapi di sebalik wajah dan kata-kata itu tidak lain hanyalah 'sihir' untuk memukau orang.
Apa yang pernah berlaku pada zaman Sultan Muzaffar Syah itu adalah suatu kejadian yang malang. Jika Bendahara tahu bahawa tuanku sebenarnya tidak bermaksud murka kepadanya, tentu tiadalah kejadian Bendahara membunuh diri itu.
Pendekar berhitung kira
Tambahan pula Sultan Muzaffar Syah adalah raja yang bijaksana dan membuat hukum dan peraturan yang memudahkan kehidupan bermasyarakat. Baginda juga sangat disenangi oleh rakyat jelata.
Maka atas rasa bersalah dan malu yang dirasai oleh Bendahara, itulah harga dirinya. Bendahara sanggup kehilangan nyawa demi maruah diri dan bangsa.
Susur
galur Sultan Muzaffar Syah itulah yang menjadi pemilik kerajaan di Perak
pada hari ini. Sejarah kerajaan, sultan, para pembesar negeri dan juga
rakyat dicatat untuk pengajaran dan panduan anak bangsa.
Semoga belajar dari kesilapan |
Menurut sahibul hikayat mereka menerima arahan dari langit ke tujuh untuk tidak ke istana. Tambahan lagi menurut mereka tiada apa-apa yang hendak dipersembahkan kepada baginda.
Begitulah pendekar dan hulubalang bangsa berhitung kira dan mencerap adat istiadat Melayu beraja.
Setelah menyedari khilaf perhitungan dan akan tingginya langit dan rendahnya lembah, baru datang rasa kesal dan menyesal. Lebih malang lagi apabila jawatan yang dipertaruhkan selama ini entah dapat, entahkan tidak. Tiadalah sahaya dapat meneka.
Malang pula oleh kerana terlalu aysik dengan filem Bujang Lapok lakonan P Ramlee, S Shamsuddin dan Aziz Satar, maka dibuat permohonan ampun maaf melalui media. Bukan di balairung istana sebagaimana adat mengadap orang Melayu di istana.
Entah dari mana adat memohon maaf kepada istana dilakukan di depan wartawan dan lensa pihak media. Tetapi kita kira, ada bernasib baik jugalah sembah maaf itu tidak dibuat melalui Facebook atau WhatsApp saja.
Jika berulang kali berlakunya kurang adab terhadap istana sama ada itu adalah petanda buruknya perangai atau tiada akal bicara yang bijak.
Semoga
pemimpin dan pembesar negeri belajar daripada kejadian malang pejuang
bangsa. Memang malang kalau tersalah dengar nasihat tukang sihir yang
kegelapan pedoman.
DR MUHAIMIN SULAM adalah naib pengerusi Amanah Perak dan juga ahli jawatankuasa Amanah kebangsaan.
Rencana ini disalin dari Malaysiakini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia.
0 Comments