KEPUTUSAN Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) membenarkan perjalanan merentas negeri dan daerah ketika perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di beberapa negeri dilanjutkan dianggap keputusan tidak masuk akal.
Beberapa pakar kesihatan turut mempersoalkan rasional di sebalik beberapa perubahan terbaharu dalam SOP berkaitan Covid-19 itu.
Pengerusi Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam dipetik laporan FMT berkata orang ramai akan “kurang keliru” sekiranya kerajaan lebih sistematik dan telus dalam mengeluarkan arahan SOP.
“Daripada secara rawak mengumumkan sekatan atau melonggarkan peraturan, kerajaan patut menambah fokus kepada mendidik masyarakat dan berkongsi rasionalnya dalam meminda peraturan serta SOP.
“Orang awam tidak patut dibiarkan meneka hasrat kerajaan melakukan pindaan kepada SOP,” katanya dipetik laporan itu.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan penamatan PKPB untuk semua negeri kecuali Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah. PKPB di tiga negeri dilanjutkan hingga 20 Disember.
Sekatan perjalanan juga dilonggarkan, dengan orang ramai dibenarkan merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran polis. Jumlah orang yang dibenarkan dalam kenderaan juga dilonggarkan dan bergantung kepada kapasiti kenderaan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy dipetik laporan sama berkata, risiko dijangkiti Covid-19 tetap nyata dan rakyat tidak boleh mengambil mudah ancaman virus pembunuh itu.
Beliau berkata penting bagi orang ramai untuk mengikuti SOP dan pihak berkuasa menguatkuasakannya dengan ketat.
Mengulas kelonggaran diberikan kerajaan, Subramaniam berkata, membuka sempadan negeri dan daerah dalam tempoh ini adalah adil dari segi keperluan ekonomi. namun ia berisiko mencetus semula penularan wabak itu.
“Tetapi harus diingati bahawa hanya seorang sahaja yang perlu dijangkiti Covid-19 untuk ia tersebar dan menjadi wabak di kawasan berkenaan, katanya.
Dr Lim Kuan Joo dan Dr Steven Chow daripada Persekutuan Persatuan Perubatan Malaysia (FPMPAM) pula berkata, mereka bimbang dengan penularan Covid-19 dari Sabah lebih-lebih lagi apabila pelawat atau penduduk dari negeri itu tidak lagi diwajibkan menjalani kuarantin setibanya di Semenanjung.
K'jaan mesti belajar dari pengalaman |
“Kita sudah lihat bagaimana pilihan raya Sabah membawa kepada gelombang ketiga Covid-19 yang begitu besar. Mereka yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulangi kesilapan lalu. Jangan ambil risiko yang tidak perlu. ” tambah mereka berdua.
0 Comments