PERMOHONAN bekas komando polis Azilah Hadri yang mahu Mahkamah menyemak semula sabitan dan hukuman mati ke atasnya atas tuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu ditolak.
Panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed sebulat suara menolak permohona tersebut hari ini.
Azilah diwakili oleh J Kuldeep Kumar sementara pendakwaan diketuai oleh TPP Dusuki Mokhtar.
Anggota hakim lain adalah hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat, Zaleha Yusof, dan Zabariah Mohd Yusof.
Azilah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 5 Dis tahun lalu bersama-sama akuan berkanun setebal 32 muka surat yang mendakwa bahawa arahan untuk membunuh Altantuya adalah daripada Najib razak yang ketika itu menyandang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Azilah, 43, meminta agar sabitan serta hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 diketepikan.
Beliau turut mahu mahkamah mengeluarkan perintah agar kes itu dibicarakan semula.
Sebaga rekod, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 menjatuhkan hukuman mati keatas Azilah dan seorang lagi bekas komando polis, Sirul Azhar Umar, 47 tahun.
Mereka bagaimanapun telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013 selepas membenarkan rayuan kedua-dua anggota UTK itu.
Pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati mereka bersalah melakukan jenayah itu.
Pencelahan oleh Najib
Sementara itu dalam perbicaraan sama, panel hakim juga menolak permohonan pencelahan Najib Razak dalam permohonan semakan semula sabitan dan hukuman mati dikemuka Azilah.
Peguam Shafee Abdullah yang hadir sebagai pemerhati mewakili bekas Presiden Umno itu mengemukakan bahawa bekas perdana menteri itu harus dibenarkan mencelah.
Mahkamah tidak benarkan pencelahan Najib |
Antara lain, mereka berkata, bahawa semakan itu hanya berkaitan dengan kes jenayah antara pemohon Azilah dan negara, yang tidak memberi kesan kepada Najib.
0 Comments