Mahathir dakwa Azmin halang Anwar jadi PM


BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mendakwa Menteri Kanan, Mohammed Azmin Ali sebagai dalang sebenar disebalik langkah Sheraton.

Pendedahan itu dibuat Ahli Parlimen Langkawi itu melalui satu kenyataan bagi menjawab dakwaan Azmin sebelum ini bahawa pembentukan Perikatan Nasional (PN) merupakan idea asal daripada Dr Mahathir.

Dipetik laporan Sinar, Dr Mahathir mendakwa Azmin juga mahu menyekat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dilantik sebagai perdana menteri.  

“Ini kerana baginya (Azmin), paling penting ialah menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi jika PH terus memerintah, sudah pasti Anwar akan berpeluang menjadi Perdana Menteri.

“Sebab itu dia bergabung dengan Muhyiddin dan hari ini, Azmin diletak oleh Muhyiddin sebagai ‘de facto’ Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, langkah Sheraton yang diatur Azmin juga adalah bukti beliau juga bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri.

Bekas Pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu juga berkata, beliau pasti Azmin sudah lama merancang perkara itu.

“Azmin tahu jika sekadar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik diri dari Pakatan Harapan (HARAPAN), ia masih tidak cukup untuk menjatuhkan kerajaan PH.

“Tetapi apabila Azmin ikut serta, maka secara langsung kerajaan HARAPAN hilang majoriti dan jatuh," tambahnya.

Untuk rekod, Azmin serta beberapa 'orang kanannya' bertindak keluar dari KEADILAN susulan langkah Sheraton, mereka kemudian digelar sebahagian penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai 'pengkhianat' oleh penyokong gabungan itu.

Bagaimanapun, sebahagian yang lain menyalahkan Dr Mahathir kerana bertindak meletak jawatan sebagai perdana menteri sehingga menyebabkan kekosongan untuk jawatan itu dan tidak menyerahkannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dijanjikannya.

Sementara itu, Dr Mahathir turut mendakwa beliau telah cuba hasut Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN),  Hamzah Zainudin bahawa Anwar dan DAP sedang merancang untuk menjatuhkan beliau.  

Tambahnya, ketika ini sedang dirancang, UMNO atau lebih tepat lagi bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak menghasut kumpulan-kumpulan Melayu supaya membenci HARAPAN yang dikatakan dikuasai oleh DAP.

Azmin mahu jadi PM, kata Mahathir


Mengulas tentang tuduhan Azmin terhadap Dr Mahathir berkenaan isu pembentukan PN sebagai idea asalnya, beliau berkata, ia tidak benar kerana PN itu dianggotai oleh kleptokrat dan ditunjangi oleh UMNO secara ‘en-bloc’. 

BACA: Azmin dianggap pembohong, ada cita-cita nak jadi PM

“Jika ada sesiapa yang beria-ia merancang menubuh kerajaan PN dan keluar daripada HARAPAN sudah pasti orangnya adalah Azmin dan Muhyiddin yang mendapat hasil paling lumayan,” kata seperti disiar laporan itu. 

Post a Comment

0 Comments