Usul terhadap MB Perak: ADUN HARAPAN bincang esok


AHLI
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak akan membincangkan mengenai usul undi percaya terhadap Menteri Besar Perak,  Ahmad Faizal Azumu
 pada Rabu.
 
Menurut Muhammad Arafat Varisai Mahamad (HARAPAN-Kinta), HARAPAN belum membuat keputusan rasmi mengenai usul tersebut memandangkan perbincangan mengenainya belum dijalankan antara parti dalam HARAPAN.

"Secara peribadi, apa juga usul yang dibawa, kita akan melihat kepentingannya kepada rakyat dan negeri ini. Kalau kita rasakan usul itu beri manfaat kepada rakyat dan negeri, pastinya kita akan menyokong.

"Cuma yang pasti, usul undi percaya kepada Menteri Besar Perak ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ibarat bom jangka dan sekarang menunggu masa untuk meletup," kata Ketua Penerangan KEADILAN Perak itu dipetik laporan Sinar.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal yang dikemukakan Abd Manaf Hashim (Umno-Pengkalan Baharu) itu sebagai perang terbuka di antara Umno dan Bersatu di Perak.

Ia juga tegasnya mengambarkan sikap Umno yang sudah hilang sabar dengan kerajaan pimpinan Timbalan Presiden Bersatu itu sehingga mereka terpaksa mengemukakan usul tersebut.

"Dahulu mereka kutuk HARAPAN dan saya sendiri dituduh menjatuhkan Ahmad Faizal sedangkan kita tak pernah bawa usul sedemikian. Tetapi sekarang Umno sendiri tidak tahan sehingga terpaksa main kasar.

"Kasihan Umno, mereka berasa tertipu. Usul ini juga membuktikan HARAPAN lebih setia dan tidak tikam belakang," kata ADUN Tebing Tinggi itu.

Dianggap perang terbuka antara Umno-Bersatu
Difahamkan, Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid menerima usul tersebut untuk dibentang dan dibahaskan pada Persidangan DUN selama lima hari bermula 4 Disember depan.

Post a Comment

0 Comments