AMK kritik Warisan selepas tak hadir undi belah bahagi

 

SEORANG pemimpin Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah mempersoal tindakan Ahli Parlimen Warisan yang mengambil keputusan tidak hadir Dewan Rakyat ketika undian belah bahagi Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa dijalankan semalam.

Razeef Rakimi berkata, tindakan Warisan yang mendakwa diri mereka sebagai rakan sekutu Pakatan Harapan (HARAPAN) itu bertentangan dengan janji mereka kepada rakyat Sabah dan kepada gabungan itu.

Beliau turut mempersoalkan apakah ada kemungkinan tindakan itu adalah atas arahan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menggagalkan usaha pembangkang yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak menolak kemungkinan Ahli-Ahli Parlimen Warisan ini mendapat arahan daripada Mahathir untuk menggagalkan usaha pembangkang atas dendam beliau kerana tidak mampu mendapat 15 sokongan termasuk Ahli Parlimen Warisan sendiri bagi mengusul undi belah bahagi Belanjawan 2021 pada khamis lalu.

"Saya ingin menasihati Ahli-ahli Parlimen Warisan yang turut membawa suara rakyat Sabah agar lebih mengutamakan agenda rakyat berbanding terus berpolitik demi kepentingan individu tertentu," kata Ketua Penerangan AMK Sabah itu.

Semalam, ketika rakyat menanti hasil bantahan blok pembangkang ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, tiada seorang pun ahli parlimen Warisan hadir.

Sengaja tak hadir


Tindakan itu telah menjejaskan peluang pembangkang menolak rang undang-undang itu yang kini dibahas di peringkat jawatankuasa.

Seorang ahli parlimen Warisan, Rozman Isli (Labuan) yang dipetik Malaysiakini memberitahu, ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan. Alasannya, mahu menunjukkan rasa kecewa mereka kepada kepimpinan Anwar Ibrahim.

Sementara itu tambah Razeef, alasan dinyatakan Rozman Isli merupakan alasan kebudak-budakan ketika rakyat mengharapkan suara ahli Parlimen mereka menentang belanjawan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu berbanding sampai kepada golongan sasar.

"Kita faham kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Labuan memandangkan beliau baru merasa menjadi pembangkang.

"Beliau sendiri hanya menyertai Warisan pada Oktober 2018 selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang. Sudah pasti menjadi pembangkang ini amat berat buat beliau.," tegasnya.

Dalam kenyataan serupa, Razeef mempersoalkan apakah Warisan telah gagal memahami strategi pembangkang di samping melihat pentingnya belanjawan berkenaan kepada rakyat yang berdepan pandemik Covid-19 serta kemelesetan ekonomi.

”Kita melihat sendiri kemampuan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim membahaskan setiap perincian belanjawan bagi memastikan setiap peruntukan sampai kepada sasaran, bukan hanya kroni.

”Ini bukan masa untuk berpolitik hanya kerana tidak berpuas hati dengan rakan sekutu kerana anda dipilih rakyat untuk berada di Parlimen, maka jalankan tanggungjawab anda," tambahnya.

Persidangan Dewan Rakyat semalam menyaksikan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan di bawah RUU Perbekalan 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa apabila pembangkang kalah nipis dalam dua undian belah bahagi yang diadakan.

JPM diperuntukkan RM11.69 bilion, iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Kementerian Kewangan pula mendapat peruntukan sebanyak RM35.1 bilion iaitu RM20.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM14.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

PN hampir tewas semalam
Secara teknikalnya, pada undi belah bahagi semalam,  kerajaan PN tidak mempunyai keseluruhan 111 undi, justeru secara teknikal mereka mungkin dikalahkan.

Undian semalam menyaksikan 106 menyokong, 95 menolak manakala 19 lagi tidak hadir.

Post a Comment

0 Comments