Baling najis sembunyi tangan


Oleh A KADIR JASIN | Kalau ini bukan politik najis apa lagi? Atau apakah pemimpin Umno pusat - secara tidak langsung - mengaku mereka sudah hilang kawalan ke atas ahli-ahli dewan undangan mereka di negeri-negeri?

Adakah pemimpin Umno negeri-negeri tidak lagi hormat kepada bos-bos mereka di Kuala Lumpur sehingga bertindak sesuka hati seperti yang mereka lakukan di Perak pada Jumaat lalu?

Susah hendak percaya bahawa apa yang berlaku itu adalah kesilapan kerana rasa tidak puas hati Umno kepada bekas menteri besar, Ahmad Faizal Azumu, bukan perkara baru.

Juga bukan satu rahsia bahawa Umno amat kemaruk jawatan tersebut.

Daripada kandungan dan nada kenyataan bersama BN (Umno), Bersatu dan Pas, jelaslah bahawa itu adalah kes 'baling najis sembunyi tangan' oleh Umno.

Bersatu dan Pas menjadi pak turut saja demi mengemis sokongan Umno kerana tanpa Umno mereka tidak boleh kembali berkuasa di Perak.

Dengan menggunakan alasan kesilapan dan memohon maaf, mereka berharap orang Melayu yang taasub kepada label Melayu-Islam boleh terus diperbodohkan.

Perbuatan mereka ini adalah contoh klasik 'baling najis sembunyi tangan'. Tapi tangan bernajis tetap berbau busuk.

Bersatu pula sah menjadi kembiri politik apabila menerima Adun Umno sebagai calon menteri besar menggantikan wakilnya yang dihumban keluar dengan begitu hina sekali.

Dengan ini juga bertambah kukuhlah bukti bahawa tindakan menarik Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) dan menubuhkan kerajaan pintu belakang dengan Umno dan Pas menjadi senjata karat yang menikam tuan.

 Bersatu dan Pas didakwa jadi kembiri politik
Jika cadangan Umno, Bersatu dan Pas itu mendapat perkenan Sultan Perak maka selesailah penyerahan semua negeri Bersatu - yang dimenangi melalui HARAPAN - kepada Umno dan Pas.

Demikianlah hebatnya perancangan Muhyiddin Yassin, Hamzah Zainuddin dan konco-konco mereka memperkuhkan Bersatu supaya menjadi pengganti Umno.

 

DATUK A KADIR JASIN ialah Tokoh wartawan dan bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia

Post a Comment

0 Comments