Ahli Parlimen Warisan kecewakan pembayar cukai - Dr Boo


TINDAKAN Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak hadir ke sesi undian perbahasan belanjawan  pada Isnin telah “mengecewakan pembayar cukai.”

Bekas presiden DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau melalui hantaran di Facebook berkata, parti itu sebelum ini bergabung dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) demi menambah baik Sabah, justeru tegasnya Ahli Parlimen parti itu sewajarnya memperjuangkan kepentingan rakyat negeri itu.

“Orang Sabah memilih anda untuk mewakili mereka di Parlimen. Anda tidak terpilih hanya untuk melampiaskan dendam peribadi terhadap pemimpin tunggal atau HARAPAN.

“Anda harus membuat pendirian menentang apa sahaja dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2021 yang dianggap merugikan Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Seorang Ahli Parlimen Warisan, Rozman Isli (Labuan) yang dipetik Malaysiakini memberitahu, ketiadaan mereka di Dewan Rakyat memang disengajakan.

Alasannya, mahu menunjukkan rasa kecewa mereka kepada kepimpinan  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walau bagaimanapun, alasan tersebut dikritik Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah yang menyifatkan alasan itu sebagai kebudak-budakan.

BACA:
AMK kritik Warisan selepas tak hadir undi belah bahagi 

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimi turut mempersoalkan sekiranya ada arahan daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad untuk menggagalkan usaha pembangkang yang diketuai Anwar.

Sikap Ahli Parlimen Warisan dikritik
Sementara itu tambah Boo, Ahli Parlimen Warisan mengecewakan pembayar cukai dengan tidak mengundi belanjawan untuk Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan yang lulus dengan majoriti tipis menerusi undian belah bahagi.

“Anda berpeluang mengundi, tetapi anda memilih untuk melepaskan tanggungjawab anda. Mereka bayar anda untuk bersuara di Parlimen, bukan percutian anda,” katanya lagi.


Post a Comment

0 Comments