Wee Ka Siong perlu jawab tuduhan serah projek kepada syarikat China

MENTERI Pengangkutan, Wee Ka Siong digesa menjawab tuduhan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Dhaya Maju-LTAT (DM-LTAT), Mohamed Razeek Md Hussain Maricar yang difailkan di mahkamah berhubung penyerahan sub kontrak kepada “syarikat China”.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook di Dewan Rakyat semalam dengan memetik afidavit difailkan Mohamed Razeek pada 27 Oktober lalu bagi menyokong injunksi memberhentikan pembatalan kontrak syarikat Dhaya Maju dengan alasan tidak memenuhi permintaan menteri pengangkutan.

“Ini merupakan tuduhan yang sangat serius terhadap menteri pengangkutan sekarang. Ini bukan surat layang, bukan tuduhan melalui WhatsApp tetapi afidavit bersumpah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Apakah benar kontrak syarikat ini dibatalkan kerana syarikat tersebut tidak memenuhi permintaan menteri pengangkutan?” soalnya.

Wee Ka Siong mesti jawab
Projek KVDT2 dihentikan selepas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tumbang pada Februari lalu walaupun syarikat itu sudah menyiapkan 24% kerja bagi satu kontrak projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2), pembayaran progresif lebih RM93 juta juga telah dibuat kepada syarikat itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada  25 September lalu diberitahu kerajaan sudah mengeluarkan surat penamatan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berkaitan kontrak tersebut.

Sementara itu, Loke yang juga bekas menteri pengangkutan era kerajaan Harapan berkata,  jika tuduhan seperti itu dilemparkan terhadap menteri daripada DAP atau ketika beliau menteri pengangkutan, sudah tentu akan dilabel sebagai menjual kepentingan kepada China dan “memangsakan” kontraktor Bumiputera.

“Keputusan pembatalan yang tidak berasas ini akan menyebabkan 8,512 pekerja hilang pekerjaan dan memberi kesan negatif kepada 261 syarikat pembekal dan sub kontraktor yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau menyeru Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyiasat perkara itu secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya, memandangkan perdana menteri bersama beberapa menteri sekarang ini membuat keputusan meneruskan projek berkenaan ketika mereka berada dalam Kabinet HARAPAN.

 

Post a Comment

0 Comments