Sokong belanjawan tak guna akal ialah sebesar-besar khianat - bekas MB


SOKONGAN
terhadap belanjawan persekutuan tanpa menggunakan akal ialah “sebesar-besar khianat”, kata seorang pemimpin Umno.

Bekas Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin berkata begitu sebagai mengulas kenyataan  pengerusi majlis penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), Shahidan Kassim di Dewan Rakyat yang menyifatkan tindakan mana-mana ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021 sebagai tindakan khianat terhadap rakyat.

Dalam satu kenyataan, Khalid menegaskan bahawa wakil rakyat perlu membuat keputusan yang dirasakan terbaik demi kepentingan negara, bukannya kepentingan parti semata-mata.

“Jika seseorang ahli Parlimen itu yakin peruntukan dan inisiatif dalam Belanjawan 2021 memerlukan pembaikan atau tidak menepati kepentingan golongan sasaran, mereka wajar menyatakan pendirian tersebut, sekalipun pendirian itu berbeza dengan pendirian parti atau pendirian bersifat ‘en block’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Khaled berkata, setiap ahli Parlimen perlu diberikan kebebasan dan ruang untuk membuat pilihan serta mengundi secara peribadi berdasarkan “conscience” untuk menyokong, berkecuali atau menolak Belanjawan 2021.

Baginya, Malaysia harus mula bergerak ke arah penyuburan amalan politik bi-partisan, yang lebih memfokuskan pembentukan konsensus nasional, merentasi ideologi dan fahaman politik demi penyelesaian kemaslahatan kepentingan nasional.

Khaled gesa Ahli Parlimen diberi kebebasan
“Rakyat harapkan ahli Parlimen untuk berikan yang terbaik, justeru idea baik akan sentiasa disokong, sekalipun oleh pihak lawan dan idea yang dangkal akan ditolak, sekalipun oleh rakan dari parti sendiri.

“Sokongan bersifat ‘en bloc’ ke atas sesuatu usul Parlimen pula tidak semestinya mencerminkan kekuatan parti, sebaliknya parti akan dianggap tidak mempunyai kepelbagaian idea, pendirian dan kebebasan untuk menyatakan pendirian demokratik.” tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments