SEORANG pemimpin pemuda parti KEADILAN menyifatkan serangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha untuk menyokong "secara senyap" Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Thiban Subbramaniam yang dipetik laporan portal Malaysiakini mendakwa ramai orang percaya Mahathir-lah “dalang” di sebalik Langkah Sheraton yang menyaksikan kejatuhan HARAPAN dan kegagalan Anwar menjadi perdana menteri.
“Coretan Tun (Mahathir) yang menyerang Anwar adalah satu cubaan untuk melagakan, memecahbelahkan HARAPAN dan menyokong Muhyiddin-Azmin kekal berkuasa secara senyap.
“Kita semua tahu bahawa Mahathir tidak pernah ikhlas semasa HARAPAN menjadi kerajaan. Beliau yang menyusun segala langkah untuk Muhyiddin (Yassin), Azmin (Ali) dan Hamzah (Zainuddin) menyusun Langkah Sheraton.
“Baling batu dan sembunyikan tangan, ini politik Mahathir sekarang bagi memastikan Najib (Razak) dan Anwar sekaligus hilang daripada politik negara […]” kata seperti disiar di portal itu.
Hari ini, dalam coretan di blognya, Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai perdana menteri susulan krisis politik yang dimulakan melalui 'langkah Sheraton' mendakwa HARAPAN masih berpeluang untuk kembali berkuasa ketika Yang di-Pertuan Agong bertemu ahli parlimen untuk menentukan majoriti.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa pada ketika itu, dia sudah mempunyai sokongan 66 ahli parlimen, namun Anwar memujuk ahli 92 parlimen HARAPAN untuk menyokong dirinya sendiri, menyebabkan jumlah 158 sokongan yang sepatutnya dimilikinya, tidak kesampaian.
Walau bagaimanapun, Thiban mengkritik kenyataan Mahathir bahawa Anwar telah menyebabkannya kalah.
Tegasnya, memandangkan Anwar memiliki 92 sokongan berbanding 66 yang dimiliki Mahathir, seharusnya bekas pengerusi Bersatu itu yang mengalah dan memberi kepercayaan kepada Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri. Thiban kritik serangan Tun M pada Anwar
“Siapa yang harus mengalah dalam situasi sebegini? Jika Tun tidak dapat menyokong Anwar pada masa itu bagaimana dia boleh dapatkan sokongan untuk Anwar selepas enam bulan beliau jadi perdana menteri?
“Ingat rakyat bodoh ke?" soalnya lagi.
0 Comments