Bimbang Enakmen baru di Pahang disalahguna


PENGERUSI  Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang, Fuziah Salleh bimbang sekiranya pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpotensi disalahgunakan.

Melalui satu kenyataan, Ahli Parlimen Kuantan itu mengulas keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meluluskan usul Enakmen Undang-undang Tubuh Negeri Pahang bagi melantik lima ADUN lantikan tanpa melalui pilihan raya.

Jelasnya, sekiranya ADUN  yang dilantik itu tersebut diberikan peruntukan sama dengan ADUN kerajaan dan dibenarkan memberi khidmat di kawasan ADUN pembangkang, ia dilihat sebagai satu usaha untuk menjatuhkan suara pembangkang melalui 'pintu belakang'.
 
"Pada masa sama, ia juga dilihat sebagai satu tindakan yang membazirkan duit rakyat dalam keadaan rakyat memerlukan bantuan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih melanda negara ketika ini," katanya.

Bagaimanapun jelas Ketua Wanita KEADILAN itu lagi, jika Enakmen baru itu dapat digunakan untuk mengimbangi suara minoriti seperti melebihkan suara wanita, orang asli dan golongan orang kurang upaya (OKU), maka langkah itu dilihat sebagai langkah progresif dan demokratik.

ADUN lantikan itu seharusnya boleh membawa suara warga minoriti tanpa sempadan daerah dan kecenderungan politik sambil memberitahu keikhlasan kerajaan negeri akan diukur rakyat melalui tindakan yang bakal dilakukan dalam melantik lima ADUN lantikan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan negeri melantik tiga ADUN lantikan dari kalangan wanita untuk mengimbangi suara golongan itu di dalam DUN Pahang bagi membawa isu-isu wanita, keluarga dan masyarakat sekali gus dapat memperkukuh usaha mengarusperdanakan isu gender di negeri ini.

"Dua lagi ADUN lantikan perlu dilantik dari kalangan orang asli dan golongan OKU," katanya.

Fuziah bimbang Enakmen baru disalahguna
Semalam, usul melantik ADUN tanpa melalui pilihan raya yang dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendapat sokongan ADUN Barisan Nasional (BN) dan Pas, bagaimanapun ia ditolak barisan ADUN dari blok pembangkang.

Post a Comment

0 Comments