Keutamaan kerajaan urus perbelanjaan dipersoal

 


SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan mempersoal keutamaan kerajaan dalam merancang perbelanjaan negara.

Gobind Singh Deo yang merupakan Ahli Parlimen Puchong membangkitkan persoalan itu susulan rancangan kerajaan memperuntukkan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dalam keadaan rangkaian penyiaran negara RTM didakwa berdepan isu kekurangan dana.

"Saya bagi contoh RTM, dan saya ingin mengatakan dan tanya kerajaan berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh pekerja 'piecemeal' dalam RTM.

"Kita lihat keadaan di mana bayaran mereka gaji mereka ini lewat kerana kononnya tidak ada dana.

"Tapi di sini kita lihat wang sebesar ini boleh disalurkan untuk kita membangunkan semula Jasa," jelasnya ketika sesi perbahasan belanjawan di Dewan Rakyat.

Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu turut mengusulkan supaya peruntukan menggunakan wang awam itu dialihkan dan digunakan dengan lebih baik termasuk untuk meningkatkan kemahiran kakitangan menteri sedia ada.

Keutamaan kerajaan urus perbelanjaan dipersoal
Gobind juga membandingkan belanjawan Jasa dengan pemotongan peruntukan 37 peratus yang ditanggung oleh jabatan pendakwaan Jabatan Peguam Negara yang menurutnya memain peranan sangat penting untuk membantu kerajaan dalam pendakwaan perbicaraan 1MDB.

"Ini menimbulkan tanda tanya," tegasnya lagi.

Dalam ucapannya juga, ahli parlimen DAP itu juga menyoal apa yang sedang dilakukan kerajaan untuk mendapatkan kembali aset yang didakwa dicuri oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.


Post a Comment

0 Comments