Semak pindaan sebelum usul undi belah bahagi - Fahmi

 

AHLI Parlimen pembangkang akan meneliti secara dalam kertas pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 sebelum memutuskan kementerian akan berdepan undi belah bahagi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dipetik laporan Malaysiakini berkata, langkah itu bagi memastikan  pindaan yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat benar-benar diterjemah ke dalam kertas pindaan yang dijangka dibentangkan minggu ini.

" Di situ baru kita boleh lihat dengan jelas, apa yang dikurangkan, apa yang dilebihkan, secara hitam putih, bukan daripada pengumuman.

"Apakah benar yang disebut itu diterjemah ke dalam dana.

“Kedua, apakah ada perubahan (terhadap perincian belanjawan), sebab kalau kita lihat, pada hari Jumaat (6 Nov) yang mana menteri kewangan umum, ada benda-benda yang masuk dalam belanjawan tapi tak diumum, seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Jadi, kita mesti teliti semula dokumen pada hari Isnin, apakah ada benda-benda lain yang masuk atau keluar, yang tak diumum,” katanya dipetik laporan itu.

Sebelum ini Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya memberi ruang untuk setiap kementerian menjawab lebih banyak persoalan mengenai belanjawan itu di peringkat jawatankuasa.

Beliau berjanji akan meminta supaya undi belah bahagi dibuat pada peringkat ini.
 
Sementara itu menurut Fahmi, selepas kertas pindaan itu disemak, HARAPAN kemudiannya akan merangka dan meneliti secara konsensus soal undi belah bahagi dan kementerian berkaitan.

Pandangan senada turut dikongsi Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad.

“Kita akan kaji belanjawan setiap kementerian dan kalau didapati ada yang tak kena, maka akan dibuat belah bahagi. Belum ditetapkan lagi kementerian mana,” kata ahli parlimen Shah Alam itu.

Pindaan belanjawan akan disemak
Ketua Parlimen DAP Anthony Loke turut memberikan pandangan senada, bahawa belanjawan itu tidak boleh ditolak keseluruhannya kerana ada hal yang dipersetujui pembangkang, dan ada hal yang tidak.

Post a Comment

0 Comments