Selangor mula roboh stuktur haram tepi sungai


KERAJAAN
Negeri Selangor mula mengambil tindakan tegas menangani pencemaran apabila bertindak meruntuhkan struktur haram yang terletak di pinggir Sungai Rawang.

Dalam operasi di Kampung Dato Lee Kim Sai semalam, pihak berkuasa tempatan mula merobohkan dua daripada lapan struktur haram yang dikenal pasti dalam penguatkuasaan yang dijalankan.

struktur dirobohkan itu termasuk dua bengkel penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi di atas tanah kerajaan sejak lebih 15 tahun lalu, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian.
 
"Kita dapati ada lapan struktur haram di sepanjang Sungai Rawang, enam daripadanya adalah bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

"Hari ini dua perobohan dijalankan disusuli tindakan sama secara berperingkat, " katanya pada sidang media yang turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Tambahnya, notis pengosongan ke atas semua pemilik tersebut dilaksanakan sejak September lalu sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan hari ini.

"Kita bagi fokus (penguatkuasaan) kepada bengkel jentera berat ini kerana mereka melakukan pencucian jentera yang melibatkan pelarut dan mengeluarkan minyak hitam mereka secara besar-besaran.

"Kalau mereka tak kendalikan dengan baik pelarut itu dan membuang minyak hitam terus ke sungai, ini yang mencemarkan sungai, " jelasnya sambil menegaskan bahawa penguatkuasaan yang dijalankan itu membuktikan ketegasan kerajaan negeri dalam menangani isu pencemaran air disebabkan operasi kilang haram berhampiran sungai.

Operasi  dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara
Difahamkan, operasi penguatkuasaan yang dijalankan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara itu diketuai Pejabat Tanah dan Daerah Gombak itu dilakukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Turut terlibat ialah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan polis.

Post a Comment

0 Comments