Pak Abu mahu tamatkan riwayat politik Azmin di Gombak



SEORANG aktivis reformasi menawarkan diri untuk mencabar menteri kanan Azmin Ali di parlimen Gombak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Saari Sungib yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang menyuarakan tawaran itu dipetik wawancaranya bersama portal Malaysiakini.

“Saya ingin menawarkan diri berdepan dengan Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dalam pilihan raya akan datang sekiranya saya sihat serta dianggap oleh pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai seorang calon boleh menang.

“Memandangkan kerusi Gombak milik KEADILAN, maka jika saya terpilih saya bersedia untuk menjadi ahli KEADILAN,” katanya dipetik.

Sebagai rekod, Saari merupakan salah satu ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang meninggalkan parti itu pada tahun 2015 dan membentuk Parti Amanah Negera (AMANAH), beliau kini merupakan ketua AMANAH bahagian Gombak (kawasan persekutuan) dan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor.

Saari yang lebih dikenali ramai dengan panggilan Pak Abu pernah ditahan dibawah dua kali ditangkap dan ditahan di bawah Akta Zalim ISA ketika era pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Susulan krisis politik pada tahun 1998 dan insiden penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau antara individu awal terlibat menggerakkan gelombang reformasi di negara ini. Saari pernah memimpin gerakan Otai Reformasi.

Lulusan dari tiga buah universiti terkemuka itu turut terkenal sebagai tokoh sosial dan dakwah serta pejuang hak asasi.

Pada tahun 2001, Amnesty International telah memberi anugerah khas di atas sumbangan beliau dalam mempertahankan hak asasi manusia. Seterusnya pada tahun 2007, beliau telah diberikan penghormatan untuk melancarkan Amnesty Report bagi peringkat Malaysia.  

Sementara itu, menafikan tindakan yang bakal diambilnya sebagai 'lompat parti', Saari menegaskan bahawa rancangannya menyertai KEADILAN sekiranya mampu menewaskan Azmin di Gombak sebagai langkah kesepaduan kerja, meluaskan demokrasi serta mengukuhkan solidariti dalam HARAPAN sendiri.

Menyentuh peluangnya untuk mengakhiri riwayat politik Azmin di Gombak pada PRU-15, Saari berkata ia mampu dilakukan berdasarkan maklum balas penduduk setempat yang menolak tindakan Azmin mengkhianati mandat rakyat melalui 'Langkah Sheraton' pada Febuari lalu.

Pak Abu tawar diri jatuhkan Azmin
“Beberapa kelompok masyarakat India, Serani, Cina, Punjabi, India, kelompok orang asli seperti Temuan bertemu saya memberi sokongan kepada saya untuk melawan Azmin Ali.

“Di Gombak mereka dapat dikumpulkan antara 5,000 hingga 7,000 orang.

“Di samping itu menurut seorang pimpinan pemuda KEADILAN, persatuan-persatuan Minang, Bawean dan etnik Sumatera yang bilangannya hampir 20,000 orang di Gombak turut memberi sokongan kepada siapa sahaja yang akan menentang Azmin Ali,” katanya.

Untuk rekod, Gombak adalah kerusi majoriti Melayu (77 peratus), manakala pengundi Cina dan India masing-masing sekitar 11 peratus.

Post a Comment

0 Comments