MALAYSIA mencatatkan kes harian terbaru paling tinggi pernah direkodkan sejak penularan Covid-19 dikesan di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, dalam tempoh 24 lepas, sebanyak 2,188 kes baharu dicatatkan dan semuanya membabitkan penularan dalam negara.
Selangor melaporkan kes harian tertinggi dengan 1,623 kes, diikuti Sabah sebanyak 232 kes.
“Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan di Selangor daripada Kluster Teratai, dengan pertambahan sebanyak 1,511 kes
“Seperti yang telah dimaklumkan, pasukan perubatan dan kesihatan awam bantuan digerakkan ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk saringan secara besar-besaran,” katanya dalam kenyataan.
Hisham berkata sebanyak 107 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (103 kes), Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), dan Kluster Penjara Sandakan (1 kes).
Negeri lain yang melaporkan kes positif hari ini Perak (112), Kuala Lumpur (90), Negeri Sembilan (73), Johor (19), Pulau Pinang (15), Kedah (14), Kelantan (6), Melaka (2), dan Labuan serta Sarawak masing-masing 1 kes.
44,353 daripada 58,847 pesakit pulih |
Sementara itu, seramai 1,673 pesakit pulih hari ini, menjadikan keseluruhan 44,153 atau 75% pesakit sembuh.
Sebanyak 14,353 pesakit Covid-19 sedang dirawat, dengan 112 orang di unit rawatan rapi dan 49 lagi memerlukan bantuan pernafasan.
4 kematian yang dilaporkan hari ini berlaku di Pulau Pinang (1 kes) dan Sabah (3), menjadikan semuanya 341 kematian.
"Sehingga 24 November, terdapat sebanyak 334 kluster telah dilaporkan. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 167 kluster dengan satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Bah Layangan.
"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes," tambahnya.
0 Comments