Ahli Parlimen diarah keluar dewan lepas kehadiran dipertikai


AHLI PARLIMEN
Keningau,  Jeffrey Kitingan diminta meninggalkan Dewan Rakyat hari ini setelah kehadirannya dipertikai.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun meminta Jeffrey berbuat demikian kerana kehadirannya di Dewan Rakyat hari ini menimbulkan kebimbangan ahli-ahli Parlimen pembangkang kerana tidak menjalani proses kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Sabah, semalam.

Menurut Azhar, sementara ketiadaan Dr. Jeffrey, beliau akan mendapatkan jawapan dari Klinik Kesihatan Lembah Pantai, tempat ahli Parlimen itu menjalani saringan Covid-19 selepas tiba di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebelumnya, Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan kehadiran Jeffrey selepas dia didakwa masih belum menghabiskan tempoh kuarantin wajib selama 14 hari sejak datang dari Sabah.

Kehadiran Jeffrey dipersoal
Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) antara yang bangun mempersoalkan kehadiran Kitingan kerana difahamkan anggota parlimen Keningau itu masih berada di Sabah pada 12 Nov lalu.

Dia turut merujuk arahan yang menyatakan bahawa semua anggota parlimen dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama dua minggu apabila datang dari negeri itu.

Mengikut rekod juga, Ahli Parlimen Keningau itu baru menjalani kuarantin selama 12 hari bermula 12 November lalu hingga semalam, sebelum beliau masuk ke Dewan Rakyat hari ini untuk mengikuti sesi perbahasan Belanjawan 2021.

Difahamkan, tempoh kuarantin Jeffrey  hanya akan tamat pada 26 Nov ini iaitu pada hari pengundian bagi Belanjawan 2021 dijangka diadakan.

Susulan kehadiran pemimpin parti Star itu, Ahli Parlimen pembangkang mendakwa pihak berkuasa bersikap berat sebelah apabila diberitahu Kitingan mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk hadir persidangan hari ini.

Post a Comment

0 Comments