Lebih baik dedah dari selindung MA63 kepada rakyat


KEENGGANAN
kerajaan mendedahkan laporan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bakal mengundang persoalan mengenai ketelusan dan integriti Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak, kata penganalisis politik.

Lee Kuok Tiung dari Fakulti sains sosial Universiti Malaysia Sabah dipetik sebahagian laporan portal FMT berkata, dalam konteks keadaan semasa tiada apa yang perlu dirahsiakan kerajaan kepada rakyat.

“Mungkin mereka (kerajaan) ada sebab atau kesukaran untuk tidak mendedahkannya (laporan MA63), tetapi apa yang pasti langkah sedemikian hanya akan mengundang rakyat mempersoalkan ketelusan dan integriti kerajaan PN dalam menangani isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak.

“Dalam keadaan kedua-dua kerajaan iaitu PN dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang dikatakan umpama telur di hujung tanduk, sudah pasti keadaan ini tidak membawa sebarang manfaat kepada mereka malah mengeruhkan lagi keadaan,” katanya menurut laporan itu.


Media sebelum ini melaporkan, pentadbiran PN mengekalkan pendirian bahawa tiada keperluan untuk Laporan Akhir Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKKKMA63) didedahkan kepada umum buat masa ini.

Ini kerana isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan adalah bersifat teknikal dan masih dalam proses rundingan antara kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, laporan MA63 sudah pasti ingin diketahui rakyat, lebih-lebih lagi mereka ingin tahu apakah kejayaan dicapai Jawatankuasa Khas Kabinet (JKKK) MA63 yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebelum ini.

“Pendedahan (laporan MA63) itu sudah pasti lebih elok daripada dibiarkan diputar belit oleh lawan politik PN kelak.

Dedah laporan dianggap tindakan lebih baik
“Ia (pendedahan laporan MA63) juga boleh dilihat sebagai langkah pencegahan untuk mengelak isu ini dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi mereka,” katanya lagi. 

Sementara itu Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berpendapat apabila progres laporan itu tidak diketahui rakyat Sabah dan Sarawak, maka sukar untuk kerajaan mendapat maklum balas lebih menyeluruh daripada rakyat dua negeri berkenaan.

“Ini sesuai untuk memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak didengari dan tidak sekadar dimonopoli suara elit politik yang memerintah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments