KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) perlu membuat pindaan terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini sekiranya mahu ia disokong sebulat suara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beberapa isu dibangkitkan dalam belanjawan itu seperti peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan geran sekali beri RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu diberi perhatian.
Tegasnya, jika PN terus mahu mempertahankan perkara yang dikritik ramai Ahli Parlimen itu sebelum ini, belanjawan itu bakal menyaksikan majoriti wakil rakyat akan menolaknya.
“Saya menganggap Belanjawan 2021 ini undi percaya kepada kerajaan hari ini.
"Sekiranya 26 Nov depan Belanjawan ditolak Dewan ini, anggaplah perdana menteri dan kerajaan hilang kepercayaan ahli Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebagai rekod, sebilangan besar wakil rakyat terutama dari pembangkang dan beberapa dari kerajaan mengkritik peruntukan besar yang dicadangkan kepada Jasa dan PeKT.
Kerajaan didakwa cuba menghidupkan semula Jasa yang sebelum ini dikaitkan dengan peranan sebagai agensi mempertahan kerajaan melalui propaganda.
Pinda belanjawan jika mahu sokongan |
Tegasnya, daripada memperuntukkan RM85.5 juta kepada Jasa, ia adalah lebih wajar diberi kepada RTM untuk menaiktaraf media rasmi kerajaan itu dan kepada Jabatan Penerangan di peringkat daerah.
Manakala ketika mengulas mengenai peruntukan RM8.6 juta kepada PeKT, Hassan mempersoalkan kewajaran memberikan jumlah sebanyak itu kepada sebuah “badan bukan kerajaan”.
“Kenapa NGO ini sahaja dapat? Banyak lagi NGO lain seluruh negara. Ini saya tengok ada kepentingan politik,” katanya.
0 Comments