Covid-19: K'jaan Pulau Pinang pertimbang potong gaji ADUN


KERAJAAN
  negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan saranan pemotongan gaji ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai sebahagian usaha menangani kesan pendemik Covid-19 kepada negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow  yang dipetik laporan Bernama berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan langkah sama pada April lepas dengan pemotongan sebulan gaji Exco ketika itu untuk disumbangkan kepada Tabung Covid-19 negeri.
 
"Pada April lepas semua Exco negeri telah menderma satu bulan gaji. Kami tidak cakap kosong, tetapi kami menyumbang.

"Begitu juga dengan semua ADUN sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, mereka turut menderma gaji mereka bagi meringankan beban rakyat yang terkesan.

"Jadi, untuk saranan ini (potongan bagi meringankan bebanan kerajaan negeri) kami bersedia untuk pertimbangkan," katanya dipetik.

Beliau sebelumnya mengulas mengenai saranan dan langkah yang diambil oleh beberapa kerajaan negeri membuat pemotongan gaji dalam usaha mengurangkan bebanan kerajaan negeri.

Kon Yeow menjelaskan bahawa langkah pemotongan gaji sebelum ini dilakukan atas kesedaran daripada Exco dan ADUN sendiri yang mahu menyumbang bagi membantu golongan terjejas.

Pulau Pinang adalah antara negeri terawal mengambil langkah berkenaan.

Pertimbang saranan potong gaji
"Menerusi sumbangan kepada tabung Covid-19 ini pelbagai bantuan dan keperluan dapat diberikan antaranya membeli peralatan pelindungan diri (PPE) serta membantu golongan terkesan," katanya lagi.

Selain Pulau Pinang, ada cadangan untuk semua ADUN di Johor turut dikenakan potongan gaji.

ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian mencadangkan semua wakil rakyat negeri itu dipotong gaji sebanyak 10 peratus bagi membantu rakyat terjejas akibat Covid-19.

Bekas Menteri Besar Johor era Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, langkah itu bagi menunjukkan solidariti dan keprihatinan terhadap rakyat negeri ini terutama golongan dibuang kerja, terjejas pendapatan sejak wabak berkenaan melanda, selain gelandangan.

Sebagai perbandingan, kesemua barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Kelantan termasuk Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bakal memperolehi pembayaran kenaikan gaji pokok susulan keputusan sebulat suara DUN meluluskan rang undang-undang untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli-Ahli Dewan Negeri 1980.

Difahamkan ADUN dan Exco kerajaan negeri Kelantan bakal menerima kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Di media sosial, keputusan itu kurang disenangi warganet  terutama ia diluluskan ketika rakyat masih terbeban dengan kesan daripada Covid-19. 

Post a Comment

0 Comments