PERBICARAAN kes rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak membabitkan isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor ditangguhkan ke 11 Disember depan.
Mahkamah menetapkan tarikh sambung bicara yang baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember depan, kata Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ahmad Akram Gharib.
Difahamkan, sepatutnya perbicaraan itu disambung semalam.
"Kami terima pemakluman (berkenaan tarikh sambung bicara baharu) melalui emel daripada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi pada 12 November lepas," katanya dipetik laporan sebuah portal.
Perbicaraan kes itu sepatutnya bersambung selama empat hari sepanjang minggu ini, dengan bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid yang merupakan saksi pendakwaan kelima, dijadual dipanggil semula bagi pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Mahkamah pada tarikh sama juga akan mendengar permohonan pendakwaan untuk memasukkan rakaman audio yang didakwa mengandungi perbualan di antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bahan bukti di mahkamah.
Rosmah didakwa terlibat rasuah |
Rosmah, 69, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Rasuah terbabit didakwa diterima menerusi bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
0 Comments