Muhyiddin nampak 'desperado' kata wartawan veteran


MUHYIDDIN YASSIN dibidas lagi susulan kenyataan yang cuba meyakinkan bahawa perintah darurat adalah tindakan wajar.

wartawan veteran A Kadir Jasin berkata,  Ahli Parlimen itu tidak sepatutnya membangkitkan perihal darurat terlebih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah menolak pengisytiharannya dengan menegaskan tiada keperluan darurat diisytihar.

Tindakan Muhyiddin itu tambah Kadir hanya menunjukkan keterdesakan Muhyiddin.

"Adalah tidak wajar malah nampak sangat 'ke-desperado-an' Muhyiddin apabila dia terus mengungkit mengenai darurat.

"Cukuplah, Yang di-Pertuan Agong sudah tolak. Lagipun, kalau kita tengok reaksi di media sosial, majoriti tidak setuju darurat diisytiharkan," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Muhyiddin sebelum ini dikritik ramai susulan percubaanya mendapatkan perkenan pengisytiharan darurat, pengkritik mendakwa ia satu langkah politik bagi terus berkuasa.

Setelah mengadakan mesyuarat bersama Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda Al-Sultan menolak permohonan Muhyiddin itu, keputusan itu dianggap satu tamparan buat Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Muhyiddin digesa tumpu belanjawan
Muhyiddin baru-baru ini 'mengungkit' perihal darurat dengan berkata, dia bimbang Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan memburukkan lagi penularan Covid-19 dan untuk itu hanya pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dapat menangguhkannya.
 
Sementara itu, Kadir menegaskan bahawa Muhyiddin sepatutnya memberi keutamaan terhadap Belanjawan 2021, apatah lagi setelah HARAPAN dan Umno menyatakan sedia untuk berbincang tentangnya.

Beliau turut sekali lagi membangkitkan kesahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat yang menurutnya antara cabaran yang perlu dihadapi pentadbiran Muhyiddin ketika sidang nanti.

"Semua pihak akan berusaha meluluskan Belanjawan 2021 agar pentadbiran negara tidak terjejas tetapi dengan kefahaman bahawa perbahasan usul percaya dan tidak percaya terhadap Muhyiddin akan dibenarkan.

"Dalam hal ini, tindak-tanduk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun akan terus diteliti," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments