AHLI PARLIMEN Simpang Renggam, Maszlee Malik hari ini mengumumkan menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja (AJK) penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Mazlee, seorang tokoh akademik yang mempunyai ramai pengikut sebelum menceburi politik berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan dapatan fakta kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi serta kehendak rakyat terbanyak.
"Saya Maszlee Malik, ahli parlimen Simpang Renggam dengan ini mengumumkan penarikan diri sebagai ahli jawatankuasa penaja penubuhan parti Pejuang.
"Saya juga akan meneruskan tugas dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasiti saya sebagai ahli parlimen bebas dan melalui ruang-ruang aktivis dan kerja-kerja kebangsaan melalui rangkaian NGO," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengumuman Mazlee itu menamatkan persoalan berhubung ketiadaan namanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan parti baru yang mahu ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad semalam.
Maszlee sebelum ini terkait dengan kontroversi berhubung penyebaran satu dokumen sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Akuan bersumpah (SD) yang dikatakan ditandatangani Maszlee menyokong Anwar (bawah) sebagai perdana menteri tersebar di tengah-tengah kemelut politik negara.
![]() |
Maszlee tarik diri dari Pejuang |
Pejuang ditubuhkan Dr Mahathir bersama beberapa pengikutnya selepas mereka disingkirkan oleh Muhyiddin Yassin dari Parti Pertubuhan Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sementara itu, Mazlee dalam kenyataannya turut berkata, rakyat dinegara ini sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.
"Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang.
"Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan," katanya lagi.
0 Comments