King Sing digesa mohon maaf, dilucutkan jawatan


AHLI PARLIMEN Bintulu, Tiong  King Sing digesa membuat permohonan maaf susulan kenyataannya yang menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai individu 'takut mati'.

Gesaan itu disuarakan beberapa pemimpin dari Pakatan Harapan (HARAPAN) sambil menuntut Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin melucutkan jawatan King Sing dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang diarah keluar Dewan selepas mempertahan Dr Noor Hisham berkata, penghinaan dibuat Duta Khas Perdana Menteri ke China itu tidak boleh dibiarkan.

"Perkara ini kita tidak boleh benarkan kerana kita perlu menghormati barisan hadapan utama kita iaitu Dr Noor Hisham. Apa pun penjelasan tidak boleh diterima kerana kenyataan 'takut mati', tak turun padang dan hanya budak pejabat boleh baca kenyataan, tidak sepatutnya dibuat.

"Kita tak boleh nafikan sidang akhbar dibuat beliau begitu penting untuk masyarakat tahu perkembangan terkini dan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

"Saya mohon King Sing tarik balik kenyataan dan buat permohonan maaf," katanya pada sidang akhbar.

Rayen turut mengkritik tindakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Azalina Othman Said yang mendengar King Sing mengulangi kenyataan itu beberapa kali, namun tidak meminta ia ditarik balik dan membuat permohonan maaf.

Perkara serupa dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. tegasnya beliau turut senada dan telah membangkitkan perkara tersebut dalam Dewan Rakyat.

"Saya telah bangkitkan peraturan mesyuarat 36 (9) yang menyatakan antara lainnya iaitu semasa perbahasan ahli Parlimen tidak boleh menghina atau menimbulkan perkataan yang memperlekehkan ahli parlimen lain dan juga disebut dengan jelas kakitangan kerajaan," katanya yang turut meminta King Sing menarik semula kenyataanya.

Dewan Rakyat menjadi kecoh semalam gara-gara kenyataan King Sing melempar kenyataan tidak sepatutnya kepada Dr Noor Hisham apabila meremehkan individu penting disebalik usaha melawan Covid-19 itu.

Tindakan tanduk King Sing itu mengundang kemarahan rakyat terutama apabila ahli politik yang berkempen di Sabah pada Pilihan raya Negeri (PRN) lalu didakwa sebagai punca lonjakan semula kes Covid-19 di negara ini.

Dalam sidang medianya semalam, Dr Noor Hisham menjawab bahawa tidak timbul isu takut mati dalam melaksanakan tugasnya untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini. Malah sebagai seorang Islam tegasnya, menyedari kematian boleh berlaku di mana-mana.

"Tidak timbul isu kita takut mati. Kita sebagai orang Islam, kita terima kematian itu boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya turun padang ataupun tidak," kata Dr Noor Hisham.

Pembangkang pertahan pegawai kerajaan

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan apa yang berlaku di Dewan rakyat semalam adalah sesuatu yang luar biasa.

Ahli Parlimen pembangkang jelasnya telah bangkit mempertahankan seorang pegawai kerajaan yang dikutuk oleh ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Menurutnya tindakan King Sing itu memalukan dan dia perlu memohon maaf termasuk kepada semua petugas baris hadapan.

Sikap King Sing dianggap keterlaluan
"Semua petugas barisan hadapan telah berkorban untuk rakyat Malaysia dan tidak mereka takut mati. King Sing perlu mohon maaf bukan hanya kepada Dr Noor Hisham sebagai wakil barisan hadapan tetapi juga kepada doktor dan jururawat," katanya.


 

Post a Comment

0 Comments