Kes saman: mahkamah tolak permohonan Jamal


MAHKAMAH
  Rayuan menolak permohonan Ketua UMNO Sungai Besar, Jamal Md Yunos untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok terhadapnya.

Ia berhubung kenyataan berbaur fitnah berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Dalam keputusannya semalam, panel tiga hakim dianggotai Datuk Suraya Othman, Datuk Has Zanah Mehat dan S. Nantha Balan turut memerintahkan Jamal membayar kos RM7,000 kepada Kok.

Peguam mewakili Ahli Parlimen Seputih itu, Sankara Nair berkata, susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, kes itu akan diteruskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Tinggi menetapkan 3 Januari depan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan.
 
Teresa pada 6 April 2017 memfailkan saman itu dengan mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas dalam sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kok mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Kes dijangka didengar pada Januari depan
Teresa mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

 

Post a Comment

0 Comments