HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Disember ini bagi keputusan kes pertuduhan rasuah RM2 juta membabitkan bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Timbalan pendakwa raya Julia Ibrahim berkata, hakim Mohamed Zaini Mazlan sepatutnya mengumumkan keputusan kes itu pada 17 Nov ini, namun melapangkan tarikh bagi prosiding tersebut susulan pelanjutan perintah kawalan pergerakan bersyarat dari 9 Nov hingga 6 Dis.
“Tarikh baru keputusan itu dimaklumkan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas kepada pihak pendakwaan dan pembelaan menerusi e-mel hari ini,” kata ketua pasukan pendakwaan itu dipetik.
Perbicaraan kes itu bermula pada 2 Julai tahun lepas dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.
Pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan lebih 80 barang kes, termasuk dokumen permohonan Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) untuk pembangunan rumah mampu milik Wilayah Persekutuan, cek RM2 juta, penyata bank syarikat, penyata tahunan Umno dan dokumen anggaran perbelanjaan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Pada 14 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.
Keputusan kes rasuah pada 21 Dis ini |
Berdasarkan pertuduhan, Tengku Adnan, 69, didakwa atas kapasitinya sebagai seorang penjawat awam, iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan Chai Kin Kong yang juga pengarah AKSB.
Wang itu diterima melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
0 Comments