PUSAT Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa kerajaan memberi alasan mengapa peruntukan untuk unit propaganda politik kerajaan menjadi keutamaan berbanding menjaga keperluan dan keutamaan rakyat Malaysia.
Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu, membuat gesaan itu susulan kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebelum ini yang berkata, peruntukan diperlukan untuk menambah kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).
Tegasnya, biarpun kerajaan perlu menangani masalah maklumat yang tidak benar berkaitan wabak Covid-19, namun ia tidak bermakna dana yang sepatutnya disalurkan untuk memerangi penularan berkenaan, dikorbankan dengan tujuan tersebut.
Ia tegasnya sama sekali tidak memenuhi kepentingan awam yang menuntut keperluan akademik dan tambah baik kepakaran.
“Selain itu, tidak wajar untuk menjadikan mana-mana kerajaan atau jenteranya sebagai sumber maklumat tunggal untuk mempromosikan naratif tertentu.
“Ini kerana, ia akan menerapkan propaganda kerajaan dan kemungkinan mendorong orang ramai untuk mencari sumber alternatif di platform lain yang tidak menapis maklumat jahat (speech hate),” katanya.
CIJ gesa penjelasan wajar dari KKMM |
Dalam pada itu , CIJ menggesa kerajaan untuk terlibat secara konstruktif dengan pihak berkepentingan khususnya media, organisasi masyarakat, para akademik, dan organisasi lain yang mampu mendorong penyebaran maklumat kepada orang ramai tanpa menggunakan kos besar untuk propaganda.
Selain itu katanya, kerajaan ditegaskan untuk menghentikan sikap yang sewenang-wenangnya menyekat wacana dan pendapat umum dengan menggunakan undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.
Jelasnya, undang-undang tersebut perlu dimansuhkan termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan menggubal undang-undang Hak untuk Maklumat (RTI) di peringkat Persekutuan yang akan menjamin pendedahan dan akses kepada maklumat berkaitan hal-hal kepentingan awam.
0 Comments