Bersabar, usaha kembalikan mandat masih berjalan

RAKYAT terutama penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) digesa bersabar kerana proses "mengembalikan mandat rakyat" masih berjalan.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman susulan berlaku perbalahan antara satu sama lain di media arus perdana dan media sosial.

Tambah Syed Badli, perbalahan seperti itu tidak membantu HARAPAN untuk menjadi kuat, sebaliknya melemahkan lagi gabungan itu.

"Muafakat dan kerjasama sesama rakan komponen HARAPAN wajib dipertahankan tanpa kompromi.

"Mandat rakyat yang diperolehi melalui PRU yang lalu telah dirampas dan usaha untuk mengembalikan mandat ini sedang berjalan," katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, keputusan Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengusulkan undi belah bahagi bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis mencetuskan rasa tidak puas hati kepada penyokong yang mahu pentadbiran Muhyiddin berakhir.

Antara yang keras mengeluarkan kenyataan adalah Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat yang berkata Anwar perlu meminta maaf atau DAP perlu pertimbang untuk "berpisah" dengan KEADILAN sekiranya tiada permohonan maaf dibuat.
 
Bagaimanapun, Anwar dalam penjelasannya berkata, tindakan itu diputuskan kerana tidak mahu pihaknya dilihat menolak inisiatif dalam belanjawan yang memberi manfaat kepada rakyat.

langkah itu juga dilakukan bagi membolehkan Ahli parlimen mendapat lebih ruang bagi bertanya soalan mengenai belanjawan itu pada peringkat jawatankuasa.

Sebagai rekod, walaupun belanjawan itu diluluskan pada peringkat dasar, ia perlu melalui beberapa siri undian lagi, Anwar menyatakan janjinya untuk meminta undi belah bahagi dilakukan pada bacaan ketiga.

Sementara itu Syed Badli menegaskan,  sikap meletakkan kesalahan kepada Anwar sahaja adalah pembulian terhadap KEADILAN dan khususnya kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu, yang menghabiskan masa 20 tahun untuk memperkukuhkan pembangkang.

Bagi Syed Badli, Anwar melalui fasa sukar dalam usaha mengambalikan mandat rakyat yang menuntut ketabahan dan pengorbanan.

Syed Badli minta penyokong bersabar
“Di sinilah akan teruji semangat setiakawan, disiplin dan kepercayaan dari rakan seperjuangan serta parti komponen HARAPAN.

“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan bersabar melalui proses sukar ini kerana matlamat sebenar untuk mengembalikan mandat masih berjalan,”tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments