PRK Gerik dan Bugaya perlu ditangguhkan - Penganalisis


PENGANALISIS
politik menyarankan agar Pilihan Raya Kecil (PRK) Gerik dan Bugaya ditangguhkan sehingga jangkitan Covid-19 menurun.

Mengambil kira situasi semasa, Prof Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, berikutan angkapositif wabak itu belum menunjukkan tanda-tanda menurun, kerajaan perlu memikirkan soal kesihatan rakyat daripada kepentingan politik.

Tambahnya, rakyat akan faham sekiranya kedua-dua PRK itu ditangguhkan.

“Kita tidak boleh korbankan kepentingan masyarakat hanya kerana hendak laksanakan pilihan raya

“Situasi semasa negara menunjukkan peningkatan kes Covid-19 dan kesihatan perlu diutamakan bagi memutuskan rantaian wabak ini, jika pilihan raya kecil (PRK) dilaksanakan kemungkinan ia akan mengundang risiko,” katanya dipetik.

Awang Azman turut merujuk keputusan menagguhkan PRK Batu Sapi di Sabah melalui Proklamasi Darurat atas alasan penularan wabak itu.

“Kalau kita boleh lakukan di Batu Sapi, kenapa tidak boleh buat perkara sama di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah?” soalnya lagi.

Setakat kini, Malaysia mencatatkan 63,176 kes positif Covid-19 dengan kes aktif 11,508 kes.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah diadakan secara serentak, pada 16 Januari 2021

“Terlalu awal untuk mengadakan PRK pada Januari,” kata Awang Azman.

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar daripada Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata, walaupun pilihan raya penting bagi setiap rakyat untuk melaksanakan hak memilih, namun sewajarnya kerajaan mengambil iktibar penularan wabak koronavirus.

Tambahnya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun berdasarkan pengalaman pematuhan kepada SOP seperti yang sebelum ini, ia didapati amat lemah sehingga menyebabkan wabak itu sukar dibendung.

PRK Gerik dan Bugaya perlu tangguh
“Jika PRK di DUN Bugaya dan Parlimen Gerik ditangguhkan, pihak berwajib hendaklah memastikan hak perlembagaan dan kepentingan penduduk di kawasan-kawasan tersebut terbela dan diberi perhatian walaupun mereka tidak mempunyai wakil di Parlimen dan DUN,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments