KEHADIRAN terlalu ramai warga asing ke negara ini tidak disenangi rakyat tempatan, selain merebut peluang pekerjaan warga tempatan, pelbagai isu sosial dan jenayah turut dikaitkan dengan mereka.
Terbaharu, satu rakaman video pendek tular di laman Facebook memaparkan tindakan keterlaluan seorang dipercayai lelaki warga Bangladesh yang memukul seorang warga tempatan dengan menggunakan sebatang besi.
Dalam satu kejadian pergaduhan di Jalan Tebrau itu, lelaki warga tempatan itu cedera di kepala, lengan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain mengesahkan kejadian itu.
Menurut Mohd Padzli, pihaknya menerima panggilan berhubung pergaduhan tersebut pada jam 11.35 malam.
"Menurut maklumat daripada saksi, suspek bertindak memukul mangsa yang merupakan warga tempatan dengan menggunakan objek senjata dipercayai sebatang besi.
"Mangsa yang berusia 39 tahun telah menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini setelah mengalami cedera di bahagian kepala, lengan dan kaki," jelasnya dalam kenyataan.
Sementara itu menurut Mohd Padzli, setakat ini masih belum ada tangkapan dibuat dan pada masa sama sedang menyiasat motif dan punca kejadian itu.
Pihak polis katanya sedang menjalankan usaha mengesan suspek dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Pihak polis mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh menghubungi terus ke talian Hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323," katanya lagi. Usaha kesan suspek sedang dijalankan
0 Comments