GAMBARAN sama ada Ahli Parlimen akan menyokong atau menolak Belanjawan 2021 yang dijangka akan dijalankan petang ini masih samar.
Terdapat khabar angin menyatakan bahawa beberapa ahli parlimen pembangkang mungkin telah dipujuk untuk menyokong belanjawan itu dengan menawarkan sumber dan peruntukan, manakala beberapa ahli parlimen dari Umno pula dikatakan tidak akan mengundi Belanjawan sulung Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.
"Khabar angin mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen Umno tidak akan mengundi dan pada masa sama saya juga pernah mendengar khabar angin beberapa ahli parlimen pembangkang akan menyokong belanjawan sebagai balasan untuk sumber dan peruntukan kepada ahli parlimen.
"Apa pun yang berlaku, undian belanjawan ini penting untuk membantu menjelaskan kekaburan politik yang bermula setelah kerajaan pintu belakang berkuasa pada Februari 2020.
"Keputusan hari ini, akan menunjukkan dengan jelas siapa sokong siapa," kata Ahli Parlimen Subang Wong Chen melalui catatkan Facebooknya.
Ahli Parlimen dari KEADILAN itu mengatakan bahawa beberapa ahli parlimen mungkin melihat situasi ini sebagai permainan politik merebut kuasa, namun tegasnya, hasil undian hari ini akan memberi kesan serius kepada demokrasi dan rakyat Malaysia.
Wong juga mempersoalkan sama ada rakyat akan membiarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terus memerintah dan mengurus krisis Covid-19.
"Demokrasi Malaysia akan diuji sepenuhnya hari ini. Bolehkah kerajaan terus menuntut keabsahan tanpa dicabar dengan undi tidak percaya?
"Selepas bencana pilihan raya Sabah, melaksanakan dua peraturan Covid-19 yang berasingan, satu untuk ahli politik dan satu lagi untuk rakyat, peraturan perintah pergerakan pergerakan bersyarat (PKPB) yang sentiasa berubah-ubah, dan sekarang sikap 'tak apa' terhadap penularan wabak di kalangan pekerja asing.
"Adakah kita masih percaya bahawa kerajaan pintu belakang ini untuk terus memerintah kita?
"Undian belanjawan hari ini akan membuat keputusan secara langsung dan tidak langsung terhadap persoalan itu," katanya.
Sementara itu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dipetik laporan Malaysiakini berkata, dengan mengambil kira ahli parlimen yang menyatakan tidak akan hadir pengundian, selain ahli parlimen yang meninggal dunia, jumlah 112 yang diperlukan PN untuk mempertahankan kerajaan telah berkurangan.
"Dalam situasi yang begitu tentunya kerajaan yang memerintah mempunyai beberapa kaedah tertentu untuk mendapat dokongan daripada ahli-ahli parlimen yang berada di luar kerajaan.
Pentadbiran Muhyiddin dalam keadaan genting |
Umno - yang mempunyai bilangan ahli parlimen tertinggi dalam PN sebelum ini meletakkan syarat untuk menyokong rang undang-undang perbekalan (belanjawan) itu termasuk menuntut kebenaran pengeluaran wang Akaun 1 KWSP diluaskan serta moratorium pinjaman secara automatik kepada semua golongan B40 dan M40.
0 Comments