SUASANA dalam Dewan Rakyat semalam menjadi tegang apabila beberapa wakil rakyat bangun menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengendali perssidangan.
Ia bermula apabila Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim bangun menyatakan rasa kesalnya apabila ada Ahli-Ahli Parlimen tidak diberi peluang mencelah dan mengemuka soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada akhir ucapan penggulungan.
Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun sebelum itu mematikan mikrofon ketika Ahli Parlimen lain mahu mencelah ucapan Zuraida selain memberitahu Ahli Parlimen Ampang itu supaya menghabiskan ucapannya.
“Saya tak setuju Yang di-Pertua ambil sikap terlalu keras menghalang ahli Yang Berhormat (YB) membangkitkan isu penting. Dewan ini untuk berbahas bukan hanya mendengar jawapan menteri. Saya bantah.
"Tolong fikir bahawa tempat ini bukan tempat untuk dengar sahaja tapi untuk bahas. tapi kalau YDP begitu keras begini sampai tak ada kelonggaran 5 minit apa ni jadi?
"Berapa orang yang baru nak cakap pun tak boleh, bagi ruang dia jawab,” kata Anwar ketika menyuarakan kritikannya.
Azhar yang baru dilantik pada Julai lalu kemudian menjawab bahawa dia faham.
Jawapan Speaker itu kemudian dikritik Anwar yang menegaskan Azhar sebenarnya tidak faham dengan gesaan supaya ruang diberikan kepada ahli parlimen menyatakan soalan.
Anwar gesa beri ruang tanya soalan |
Azhar kemudian berkata, waktu perbahasan telah tamat, namun sekali lagi disangkal Anwar.
"Apa dah tamat? orang bangun tak boleh soalan, saya tak setuju yang dipertua ambil sikap terlalu keras menghalang ahli-ahli yang berhormat membangkitkan isu penting.
"Saya bantah sebab saya fikir isu yang dibangkitkan biarlah beri ruang untuk menteri jawab," kata Anwar sambil disambut sokongan ahli parlimen lain.
Azhar kemudiannya sekali lagi mendakwa bahawa dia faham, namun berkata waktu perbahasan dah tamat.
"Kalau Faham, bermakna Yang di-Pertua tahu dia mintak penjelasan atau tidak. Yang di-Pertua menghalang dia dari mempersoalkan, sedangkan saya lihat menteri sedia jawab.
"Sebaiknya dalam hal itu kita beri ruang untuk menteri jawab," tambahnya lagi.
0 Comments