KERAJAAN perlu mendedahkan data kes Covid-19 kepada orang ramai secara terbuka bagi meyakinkan mereka kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat berkata orang ramai kini mula mempertikaikan ketelusan kerajaan dalam mengeluarkan data berkenaan.
“Saya minta supaya ada data terbuka. Saya nak tekankan, mesti ada ketelusan, misalnya ada tujuh kes di Selangor umpamanya di Petaling Jaya, kita hendak tahu di mana dan kebenarannya.
“Bila ada data terbuka dan maklumat jelas, orang lebih yakin. Sekarang ini dah ramai mula pertikai,” katanya menjawab pertanyaan Nik Nazmi Nik Ahmad (HARAPAN - Setiawangsa) yang berpendapat dari segi dasar, cara kerajaan mendedahkan kes Covid -19 tidak mengambil kira kepadatan penduduk.
Sebelum ini, orang ramai termasuk beberapa pemimpin termasuk veteran DAP, Lim Kit Siang mempertikai keputusan mengenakan PKPB hampir di seluruh semenanjung.
Anwar gesa k'jaan bersikap telus |
Langkah itu dikhuatiri menyekat kebebasan rakyat untuk menjalankan kehidupan harian sekaligus menjejaskan punca pendapatan golongan peniaga.
Selain itu, kerajaan Selangor juga dilapor berdepan kesulitan untuk memerangi pendemik berkenaan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa tidak lagi berkongsi data penting berkenaan kes positif.
Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) tidak lagi menerima data granular daripada KKM sekaligus menyebabkan mereka kini "bertarung sambil mata tertutup"
Dalam perbahasan serupa, Anwar turut membangkitkan keperluan mengehadkan sidang di Dewan Rakyat hanya sehingga 1.00 petang.
Meskipun tiada niat untuk mempersoalkan arahan KKM terutama dalam prosedur operasi standard (SOP) Anwar berkata, hal tersebut seharusnya terbuka untuk dibincangkan.
0 Comments