AHLI PARLIMEN Subang, Wong Chen mengesa Ketua audit negara menyiasat perjanjian penyelesaian antara kerajaan dan firma pelaburan, Goldman Sachs berkaitan skandal 1MDB.
Ia selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan mengumumkan perjanjian penyelesaian 1MDB-Goldman itu “terikat dengan klausa kerahsiaan”.
Tegas Wong Chen, permintaan itu wajar kerana kerana wakil-wakil rakyat mesti diberi akses untuk meneliti perincian USD1.4 bilion tuntutan berhubung salah laku dan penyelewengan membabitkan syarikat pelaburan itu yang “dijamin” Goldman Sachs akan dikembalikan kepada Malaysia.
“Saya ingin mengingatkan menteri bahawa ini adalah perjanjian penyelesaian yang melibatkan dana yang cukup besar, USD3.9 bilion wang rakyat yang dicuri, di mana Goldman Sachs terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Takiyuddin Hassan, dalam jawapan bertulis kepada Wong pada 17 Nov menjelaskan perjanjian penyelesaian itu merupakan dokumen rasmi yang dilindungi Akta Rahsia Rasmi.
Oleh itu kerajaan tidak dapat memberikan akses kepada perinciannya bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil akibat pelanggaran perjanjian.
Wong bagaimanapun meminta peguam negara memberikan pendapat undang-undang mengenai permintaannya.
“Saya sangat ragu Goldman Sachs, pihak yang terlibat dalam jenayah 1MDB, akan berani mengambil tindakan undang-undang untuk menghalang akses ahli Parlimen Malaysia yang terpilih untuk meneliti perjanjian penyelesaian ini,” katanya lagi.
Pada Julai, Kementerian Kewangan mengumumkan Goldman bersetuju untuk membayar USD3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan dengan 3 urus niaga bon yang disusun dan diatur oleh Goldman untuk 1MDB.
Dengan jumlah penyelesaian ini dan wang yang diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, lebih dari USD4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat, katanya.
Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai USD2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya USD1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang diseleweng melalui 3 urus niaga bon tersebut.
Sementara itu, Wong Chen turut meminta Takiyuddin mempertimbangkan suatu jawatankuasa dwipartisan untuk melihat dan menyemak perjanjian tersebut.Wong mahu perjanjian penyelesaian disiasat
0 Comments