Mahfuz andaikan belanjawan 2021 dibuat tergesa-gesa


BELANJAWAN  2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lalu dilakukan dalam keadaan darurat dan tergesa-gesa, kata Datuk Mahfuz Omar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat berkata,  situasi itu dapat dilihat apabila belanjawan tersebut tidak memberi fokus kepada isu yang sepatutnya.

"Apa yang dapat dilihat bahawa belanjawan ini dibentang dalam keadaan yang sangat darurat selepas daripada mereka (kerajaan) tidak dapat pengisytiharan darurat.

"Lalu akibat daripada kedudukan kuasa politik yang sangat darurat (dialami Perikatan Nasional itu), maka datanglah bagi saya belanjawan yang sangat darurat.

"Belanjawan yang dibuat dalam keadaan tergesa-gesa dan akhirnya dilihat sebagai belanjawan yang tidak menepati kepada masalah yang sebenarnya," katanya.

Tambah Mahfuz, belanjawan dibentangkan menteri kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz itu juga tersasar apabila ia  berbeza daripada apa diharapkan rakyat yang bergelut dengan isu ekonomi susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

Dianggap tak penuhi kehendak rakyat


Sebelum ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu berkata, Belanjawan dikemuka pentadbiran Perikatan Nasional (PN) terdapat banyak kelemahan.


Merujuk tindakan Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 23 Oktober lalu, Khalid mendakwa ada rancangan supaya belanjawan itu diluluskan tanpa perlu dibahaskan.  

"Pada masa bajet ini disediakan apa yang ada di belakang pemikiran kerajaan ialah ia tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Mengikut perancangan dan harapan mereka, bajet ini akan diluluskan begitu sahaja kerana akan diisthiharkan darurat.

"Bila ditolak darurat itu, maka tiba-tiba kerajaan terpaksa nak bentang dalam dewan rakyat dalam tempoh berapa hari saja.

"Sekarang ini setelah ia dibentang, memang banyak kekurangan dan kejahatan yang terselit didalamnya," katanya.

Sebagai rekod, Ahli Parlimen pembangkang dan sebahagian dari Umno mendesak belanjawan dikemuka pentadbiran Muhyiddin dipinda supaya benar-benar dapat membantu rakyat.

Mereka memberi amaran untuk tidak menyokong belanjawan itu sekiranya pindaan tidak dibuat termasuk memansuhkan peruntukan RM85.5 juta bagi menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang dianggap sebagai sebuah badan propaganda kerajaan.

Sementara itu, dalam perbahasan sama, Mahfuz turut mendesak supaya syarat-syarat pengeluaran wang daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilonggarkan dan diperluaskan lagi.

Syarat-syarat yang ditetapkan ketika ini tegasnya tidak mampu menyelesaikan masalah sebaliknya akan menyusahkan lagi pencarum.


Post a Comment

0 Comments