Apa akan berlaku jika belanjawan PN ditolak?


MUHYIDDIN
Yassin perlu meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen pada 26 November ini, kata Ahli Parlimen  Pasir Gudang, Hassan Karim.

Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Johor itu berkata demikian sebagai mengulas senario sekiranya Belanjawan dibentangkan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) awal bulan ini tidak mendapat sokongan mencukupi dari Ahli Parlimen.

Tegasnya, sekiranya  belanjawan itu tertolak, Ahli Parlimen Pagoh itu dianggap sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

"Beliau sudah tidak ada locus standi sebagai seorang Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan

"Muhyiddin tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat seluruh Malaysia setelah belanjawan itu ditolak sebaliknya menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Seri Paduka Baginda," katanya dipetik.

Tambanhnya lagi, sekiranya senario itu berlaku,  Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri baharu dan sebuah kerajaan baharu jemaah Menteri akan terbentuk menggantikan kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri baharu jelasnya akan memanggil sidang khas untuk meluluskan belanjawan untuk perkara-perkara penting.

"Perdana Menteri baharu perlu segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menasihati Seri Paduka Baginda supaya sidang khas Parlimen dipanggil seawal Disember ini untuk meluluskan belanjawan di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan.

"langkah tersebut perlu supaya kerajaan baharu ada peruntukan wang untuk membayar gaji atau emolumen kakitangan awam, membayar barisan hadapan dan untuk operasi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Hassan jelaskan senario jika belanjawan ditolak
Menurut bekas pengamal undang-undang itu lagi, dengan terlucutnya jawatan Muhyiddin, semua jawatan Menteri juga gugur secara automatik dan kerajaan sedia ada tumbang.

Manakala belanjawan sulung kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu pula lupus di Dewan Rakyat dan sama sekali tidak boleh dibawa ke Dewan Negara, malah tidak boleh dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.




Post a Comment

0 Comments