Cetak lebih banyak wang: Ahmad Fayhsal disifatkan terlalu 'naif'


SEORANG
ahli ekonomi mengkritik cadangan seorang timbalan menteri agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang untuk diedarkan kepada golongan bawah 40 (B40).

Ketua pegawai eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito yang dipetik laporan FMT menyifatkan cadangan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu sebagai terlalu "naif".

Ferlito turut mengulas kenyataan Ahmad Fayhsal banyak pihak salah faham berhubung komen beliau dengan alasan kononnya beliau merujuk kepada teori monetari moden (MMT) yang dikemukakan oleh ahli akademik.

"MMT dan idea mencetak wang cacat dan jika mencetak dan mengagihkan wang untuk merangsang penggunaan berjaya, maka kemiskinan tidak akan menjadi isu.

“realiti tidak berjalan seperti itu,” katanya Ferlito sambil menegaskan bahawa nilai wang secara terbalik berkait dengan kuantiti barang yang tersedia.

Nilai wang akan susut
Ahmad Fayhsal yang merupakan ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika bercakap di radio BFM menyarankan agar Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagih kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Dia akhirnya dikritik ramai susulan idea tersebut.

Sementara itu, Ferlito menjelaskan kesan sekiranya negara mencetak lebih banyak wang kedalam sistem kewangan.

“Nilai wang akan berkurang. Paling baik orang ramai hanya akan menjadi lebih kaya dari segi nominal.

“Hakikatnya, akan berlaku kenaikan harga barang untuk mengimbangi jumlah wang yang tinggi.” jelasnya.

Ferlito berkata, situasi itu pernah berlaku di Venezuela di mana wang kertas dibuang begitu sahaja kerana ia tiada nilai.

Katanya, negara-negara lain yang melaksanakan dasar tersebut, akhirnya mengabaikannya selepas inflasi berleluasa dan mata wang lemah.

“Cara terbaik untuk menolong orang ramai sekarang bukanlah dengan memberikan perasaan kaya yang palsu dari segi kewangan tetapi melaksanakan strategi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi.

“Pertumbuhan ekonomi akan mewujudkan peluang pekerjaan yang diperlukan oleh pasaran. Akhirnya, inilah yang akan menyaksikan orang ramai memperoleh lebih banyak pendapatan,” kata Ferlito menurut laporan itu.

Post a Comment

0 Comments