Ubah-lah persepsi negatif terhadap pembangkang


SEMUA
Ahli Parlimen pembangkang terutama dari Pakatan Harapan (HARAPAN) sentiasa akan menyokong mana-mana usul atau Rang Undang-Undang (RUU) yang membawa kebaikan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai dari KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, sikap itu dapat dilihat ketika sidang Dewan Rakyat sebelum ini apabila mereka menyokong RUU berkaitan langkah memerangi Covid-19

Tegas Fahmi lagi, apa yang dilakukan mereka adalah bagi memenuhi tugas semak dan imbang bagi setiap usul yang dibawa kerajaan.

Justeru beliau menyeru pihak yang tidak memahami fungsi pembangkang agar mengubah persepsi mereka yang sering mengaitkan blok itu dengan perkara-perkara negatif.
 
"Kita perlu teliti tugas atau pun fungsi pihak pembangkang dalam Parlimen adalah untuk proses semak dan imbang.

"Ia di mana sekiranya tidak ada langsung pembangkang, maka sesuatu yang dibawa ke perhatian Parlimen tidak ada sesiapa yang akan membangkitkan untuk diteliti dengan lebih mendalam.

"Saya bagi contoh isu yang dibangkitkan oleh ramai frontliners, mereka kata untuk dapat sebahagian elaun, kami kena isi banyak borang, benda-benda seperti ini perlu diteliti oleh pihak kerajaan," katanya dipetik laporan Awani.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa perbahasan mengenai sesuatu usul dibentangkan di Parlimen adalah baik. Ia bagi membolehkan lebih banyak pandangan mengenai sesuatu isu itu didengari supaya keputusan terbaik untuk kepentingan rakyat dapat dicapai.

"Kalau berlaku darurat... Nauzubillah, tidak ada sidang Parlimen, tidak ada peluang mendengar dalam dewan rakyat tentang pro dan kontra kepada sesuatu maka ia menjadi seperti sebuah 'dictatorship'.

"Tetapi Alhamdulillah Ke Bawah Duli Tuanku bertitah tidak perlu darurat, jadi sidang Parlimen boleh diteruskan," kata Pengarah Komunikasi KEADILAN itu lagi.

Pembangkang jalankan tugas semak dan imbang
Sebagai rekod, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini cuba memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mengisytiharkan darurat dan mengantung parlimen.

Tindakan Muhyiddin itu dikritik semua parti pembangkang, Umno yang sebahagian wakil rakyatnya menyertai kabinet Muhyiddin turut menolak percubaan yang dianggap banyak pihak sebagai cara menyelamatkan karier politiknya itu.

Al-Sultan Abdullah pada Ahad menitahkan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia buat masa ini.
 

Post a Comment

0 Comments