Penduduk PKPD putus bekalan makanan, dakwa k'jaan tak bantu


SEBAHAGIAN penduduk di Taman Semarak dekat Tawau dilapor berdepan isu kekurangan bekalan makanan setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak Isnin lalu.

Menerusi satu rakaman video yang tular di laman Facebook, penduduk merayu SOP yang dikenakan dilonggarkan dengan kebenaran diberikan kepada setiap ketua keluarga keluar membeli bekala makanan di kedai berhampiran luar kawasan PKPD itu.

Difahamkan ketika ini mereka hanya dibenarkan membeli bekalan dari kedai dalam kawasan berkenaan, namun bekalan amat terhad dan tidak mampu menampung keperluan kira-kira 4,000 penduduk kawasan itu.

Seorang penduduk, Johny Garakit Goran, 45, yang dipetik sebahagian laporan Sinar berkata, ramai penduduk di Taman Semarak mengalami masalah kehabisan bekalan makanan selepas memasuki hari keempat dikenakan PKPD di kawasan terbabit.
 
"Masalah kami sekarang ialah sukar untuk mendapatkan bekalan makanan dan kedai yang berhampiran tidak jauh dari kawasan yang dikenakan pagar berkawat.

"Kami cuma mahu keluar untuk membeli barang bekalan makanan yang tidak jauh dari kawasan ini kerana ramai penduduk sudah kehabisan bekalan makanan. Ada juga yang sudah kehabisan bekalan gas untuk memasak," katanya dipetik laporan itu.

Penduduk turut mendakwa, kesempitan dihadapi mereka diburukkan lagi dengan tiada sebarang bantuan atau bekalan makanan disalurkan oleh kerajaan.

Malah barangan keperluan basah yang dibelikan pihak luar kepada penduduk tidak diserahkan terus sebaik penyerahan kepada pihak berwajib.

"Mereka kumpul barangan itu dan hanya diserahkan kepada penduduk pada sebelah malam. Sudah tentu barang basah seperti ikan, daging ayam dan sayur rosak.

"Jadi sukar penduduk berharap pada orang lain melainkan ketua isi rumah perlu keluar sendiri untuk membeli barang keperluan terutama barangan basah," kata Johny lagi.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata ada mencadangkan supaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah membenarkan penduduk keluar membeli barang keperluan di pasar basah terdekat atau membawa masuk kedai runcit bergerak ke kawasan itu secara berkala.

Sarifuddin turut menggesa PKOB mencari alternatif lain membantu penduduk termasuk menyalurkan lebih banyak makanan kepada penduduk kawasan terbabit.

Penduduk mahu keluar beli makan


Cadangan itu tegasnya perlu dilaksanakan bagi membantu penduduk di kawasan itu mudah untuk mendapatkan bekalan makanan sepanjang PKPD dilaksanakan di kawasan itu.

 

Post a Comment

0 Comments