SEORANG pekerja am warga asing kehilangan pergelangan tangan dalam satu kemalangan di tempat kerjanya di Ipoh semalam.
Dalam kejadian di kilang pengeluaran sarung tangan Top Glove kira-kira jam 5.45 pagi itu, pekerja yang difahamkan berasal dari Bangladesh tersebut dikejarkan ke hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Doktor terpaksa memotong pergelangan tangannya yang hampir putus akibat terperangkap dalam aci berputar.
Seorang rakan sekerja pekerja itu memberitahu FMT, mereka di bawah tekanan untuk memenuhi permintaan sarung tangan perubatan yang semakin meningkat ketika pandemik Covid-19.
“Beberapa kemalangan tidak dilaporkan,” dakwa pekerja itu yang tidak mahu dinamakan.
Top Glove mencatatkan keuntungan tertinggi tahun ini susulan peningkatan permintaan untuk sarung tangan perubatan, dengan keuntungan suku ke-4 yang berakhir 31 Ogos lalu mencecah RM1.29 bilion, hampir 18 kali lebih tinggi daripada RM74.17 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Pada 2018, Yayasan Thomson Reuters mendedahkan sesetengah pekerja bekerja lebih masa di Top Glove, di mana mereka sering bekerja syif 12 jam dengan keseluruhan 90 hingga 120 jam kerja lebih masa sebulan.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) cawangan Pulau Pinang menggesa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menyiasat insiden itu.
Pergelangan tangan mangsa terpaksa dipotong |
“Dari maklumat yang kami terima, tangan pekerja itu terperangkap di putaran tangki berus sarung tangan syarikat itu, sehingga pergelangan tangannya terputus.
“Melihat kepada kejadian yang serius ini, kami berpendapat adalah menjadi tugas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh) melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden tersebut,” kata setiausaha MTUC Pulau Pinang, K Veeriah.
Veeriah turut mempersoalkan apakah ingin tahu apakah syarikat itu telah melaksanakan tugas wajibnya dalam mematuhi piawaian keselamatan.
Jelasnya, sistem perlindungan seperti sistem amaran seharusnya ada untuk mengelakkan kemalangan dan siasatan harus dilakukan mengenai perkara itu.
“Pada pandangan kami jika ada sistem suis pengasingan ‘sensory’ yang berfungsi, kehilangan anggota badan dapat dielakkan,” katanya lag.
0 Comments