Patriot kecam laporan berita mengelirukan oleh portal Air Times


KUMPULAN veteran Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengkritik portal berita Air Times News berhubung satu laporan diterbitkan pada 27 Oktober lalu.


Ia susulan tajuk laporan yang cuba mengaitkan pelantikan jawatan dalam rejimen Askar dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menurut mereka cuba mengelirukan orang ramai.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, laporan bertajuk ‘Pengarah Perisikan lantikan khas Pakatan Harapan didakwa pecah amanah’ yang menyebut ‘lantikan khas Pakatan Harapan’ dianggap tidak tepat dan mengelirukan orang ramai untuk mempercayai bahawa HARAPAN telah melantik pegawai tersebut ke jawatan Pengarah Perisikan Tentera.

“Ini tidak betul,” katanya.

Tambah Mohamed Arshad didalam angkatan bersenjata, setiap pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai kanan, kebiasaannya dikemukakan ketua jabatan masing-masing yang akan mencadangkan calon sesuai untuk mengisi beberapa jawatan dan sama sekali tidak boleh dilantik secara politik.

“Dalam kes Pengarah Perisikan Tentera, untuk pelantikan tri-perkhidmatan, biasanya Ketua Angkatan Pertahanan yang akan mencalonkan calon yang sesuai.

“Secara tradisinya, jawatan itu diberikan kepada pegawai paling kanan Kor Perisikan Angkatan Tentera,” jelasnya.

Laporan cuba mengelirukan, kata Patriot
Beliau turut memberitahu, Menteri Pertahanan yang mempengerusikan dewan hanya perlu bersetuju dengan calon yang dicadangkan oleh Panglima Angkatan Pertahanan, kerana pelantikan pegawai tidak boleh berkait dengan sebarang unsur politik.

“Belum pernah ada parti politik atau ahli politik yang memutuskan pelantikan pegawai tentera ke jawatan Pengarah Perisikan Tentera,” katanya sambil sekali lagi menegaskan bahawa ayat ‘lantikan khas Pakatan Harapan’ adalah sangat mengelirukan.

Terdahulu, portal tersebut melaporkan, seorang pegawai kanan dari Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) yang dipilih secara 'lantikan khas' sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan sebaik sahaja HARAPAN memerintah telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkait dengan salahguna kuasa.

Pegawai tersebut bersama dua lagi telah didakwa atas 17 pertuduhan menerima serta meminta rasuah bernilai RM3.5 juta berhubung beberapa projek di Kementerian Pertahanan tahun lalu.



Post a Comment

0 Comments