SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mengemukakan usul di bawah Peraturan 18 Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya kerajaan mengeluarkan bantahan keras terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang dianggap menghina Islam.
Usul tersebut dikemukakan Datuk Mahfuz Omar (Amanah) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahaskan.
“Bahawa saya Ahli Parlimen Pokok Sena mohón kebenaran agar Majlis Mesyuarat ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk merunding perkara tertentu, berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan, membahaskan usul bagi kerajaan mengambil tindakan tegas dan bantahan keras terhadap kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara,” tulis usul tersebut.
Beliau menegaskan usul berkenaan adalah melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan kerana tidak mahu perkara itu menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Memandangkan Macron enggan menarik balik ucapannya yang penuh dengan kebencian, kerajaan dan Parlimen Malaysia dicadangkan mengambil tindakan dengan menghantar nota bantahan keras, menuntut Macron menarik semula kenyataan biadap, memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat dunia.
"Hal yang demikian, saya menyeru agar Dewan yang mulia ini mengecam dan mengritik kenyataan Presiden Perancis tersebut disamping tidak bersetuju dengan pembunuhan ke atas Samuel Party yang sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang.
"Sesungguhnya, saya percaya bahawa sensitiviti keagamaan seharusnya dihormati di mana kepelbagaian agama seharusnya membawa kepada keharmonian dan perpaduan, dan bukannya menimbulkan konflik sesama manusia," katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar Dewan mengecam kenyataan Macron selain menyatakan ketidaksetujuan terhadap pembunuhan seorang guru, Samuel Party yang sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang.
Bar-baru ini, Macron membuat satu kenyataan mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menyifatkan Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.
Macron dilaporkan berikrar akan berjuang untuk menentang kumpulan radikal Islam selepas tragedi seorang guru sejarah dipenggal pada 16 Oktober lalu kerana menunjukkan gambar Nabi Muhammad kepada pelajarnya.
Penduduk Islam seluruh dunia kemudian bangkit mengkritik kenyataan tersebut serta kempen memboikot produk Perancis turut telah dilancarkan.
Gesa buat bantahan keras |
Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengkritik kenyataan Macron dengan menyifatkannya sebagai jijik dan tidak masuk akal.
Anwar menegaskan bahawa dunia Islam tidak lagi memerlukan syarahan lebih daripada sekadar bertoleransi dengan hinaan dan retorik Islamofobik daripada presiden Perancis itu.
0 Comments