Ahli PAC perlu dilantik segera setelah 'lumpuh' sejak Mac


PELANTIKAN
Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen perlu disempurnakan di hari pertama Parlimen bersidang pada 2 November ini, tegas Pengerusinya Wong Kah Hong.

Melalui satu kenyataan, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menegaskan bahawa pelantikan itu penting bagi memastikan urusan PAC dapat bersambung semula setelah dilumpuhkan sejak bulan Mac lalu.

Menurutnya, beliau telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun minggu lepas dan menyuarakan cadangan tersebut.

“Saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dapat memandang serius perkara ini dan masalah yang dihadapi oleh PAC sekarang.

“Walaupun Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PAC telah dilantik dalam sidang Parlimen pada 27 Ogos yang lepas, mesyuarat-mesyuarat PAC yang tergendala sejak bulan Februari masih tidak dapat dijalankan memandangkan ahli-ahli PAC masih belum dilantik,” katanya lagi.

Sementara itu jelasnya beliau bersama Sekretariat PAC telah berbincang berkenaan kes-kes tertangguh dan mengatur jadual jawatankuasa untuk bermesyuarat sejurus selepas Parlimen bersidang semula dengan pelantikan ahli-ahli PAC.

PAC perlu berfungsi segera
"PAC perlu menebus semula waktu yang hilang.  PAC yang efektif dan efisien adalah penting untuk Parlimen dalam memainkan peranannya untuk semak seimbang pentadbiran eksekutif.

“Kita berhasrat untuk membentangkan satu laporan PAC pada minggu pertama parlimen dan satu lagi laporan PAC pada minggu kedua.

“Kita tidak mampu untuk apa-apa penangguhan lanjut dalam melaksanakan kerja kita lagi,” ujarnyamenurut kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments